AM

Bekas Wartawan Bernama Sabaruddin Ahmad Sabri Selamat Dikebumikan

12/01/2026 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Jenazah bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sabaruddin Ahmad Sabri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Taman Ehsan, Kepong kira-kira 3.20 petang tadi. 

Allahyarham yang berusia 60 tahun meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 5.28 pagi tadi akibat jangkitan paru-paru. 

Jenazah Sabaruddin yang juga bekas pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dibawa ke Masjid Jamek FRIM, Kepong pada kira-kira 9.30 pagi untuk dimandi dan disolatkan, dengan pengembumian dihadiri ahli keluarga serta sahabat Allahyarham termasuk rakan media. 

Sahabat baik Allahyarham, Norazli Noh, 62, menyifatkan Sabaruddin benar-benar mencerminkan maksud namanya (Saba) kerana seorang yang sabar, berbudi pekerti mulia dan tekun dalam melaksanakan setiap tanggungjawab.

“Jika memulakan sesuatu tugasan, beliau akan pastikan ia diselesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Bernama selepas urusan pengebumian di sini hari ini. 

Norazli yang juga bekas pengacara RTM berkata antara kenangan paling bermakna dengan Allahyarham ialah semasa mereka terlibat dalam Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (ISWAMI) di bawah pimpinan Tan Sri Rais Yatim bagi memperkukuh hubungan wartawan dua negara berkenaan.

“Ketika itu, kami bertindak memperkukuh hubungan rakyat Malaysia dan Indonesia di peringkat akar umbi dengan Allahyarham sebagai penghubung yang memupuk persefahaman antara dua negara, satu sumbangan besar yang sukar dilupakan,” katanya.

Norazli berkata pengalaman Allahyarham sebagai wartawan di meja ekonomi serta jaringan luas dalam kalangan pemimpin korporat dan rakan media termasuk ketika berkhidmat di Utusan Malaysia menjadikan beliau antara sumber rujukan utama berkaitan perkembangan semasa, khususnya jika melibatkan Indonesia.

“Dalam kalangan wartawan, beliau dikenali sebagai pemangkin yang mengeratkan hubungan media serantau terutama Indonesia. Setiap kali sambutan Hari Wartawan Nasional di Indonesia, Allahyarham sering menjadi antara individu utama membawa wartawan Malaysia ke sana serta menguruskan kunjungan rakan media Indonesia ke negara ini,” katanya.

Rakan seperjuangan Allahyarham yang pernah berkhidmat di TV3 selama lebih 30 tahun, Muhammad Fairuz Mansor, 57, berkata pemergian Sabaruddin merupakan kehilangan besar kepada dunia kewartawanan tanah air.

“Allahyarham bukan sahaja wartawan yang berdisiplin malah pemangkin yang mengeratkan hubungan sesama rakan media merentas organisasi dan negara.

“Beliau seorang yang sabar dan tenang. Apabila situasi tegang atau perdebatan timbul, Allahyarham selalu mampu menenangkan suasana dan membawa topik ke arah penyelesaian. Itu antara kelebihan yang membuatkan beliau mudah didekati serta disegani,” katanya.

Muhammad Fairuz turut berkongsi perancangan dan hasrat bersama-sama Allahyarham tahun ini, iaitu menerbitkan podcast mengenai kewartawanan sebagai platform perkongsian pengalaman wartawan lama kepada generasi baharu bagi mengekalkan nilai integriti serta sistem semak dan imbang dalam bidang itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan