AM

Guru Ambil Inisiatif Pakai Kostum Maskot Sambut Murid

12/01/2026 04:50 PM

BALIK PULAU, 12 Jan (Bernama) -- Kreativiti dan keprihatinan guru menceriakan hari pertama sesi persekolahan 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh di sini, apabila mereka mengambil inisiatif mengenakan kostum maskot bagi menyambut kehadiran murid pagi tadi.

Sebanyak 309 murid sekolah berkenaan disambut di pintu masuk sekolah seawal 6.50 pagi oleh maskot Tom & Jerry yang digayakan Guru Pendidikan Islam Ustaz Muhammad Anis Ab Ghani dan guru bahasa Melayu Muhammad Azhan Mohamad Shuhaimi.

Murid tahun tiga Muhammad Haniff Fitri Muhammad Anis juga tidak mahu ketinggalan apabila turut serta memakai kostum katak, sekali gus mewujudkan suasana ceria dan menghilangkan rasa gementar, terutama dalam kalangan murid baharu.

Guru Besar Noor Hafiza Mohd Johari berkata pendekatan itu dilaksanakan sebagai usaha menyuntik semangat murid selepas cuti panjang serta membantu murid prasekolah dan tahun satu menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.

“Inisiatif ini sudah menjadi tradisi sekolah sejak dua tahun lepas bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra dan menyeronokkan. Sambutan sebegini dapat mengurangkan rasa takut murid untuk hadir ke sekolah, terutama pada hari pertama,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata murid yang hadir awal turut menerima buku dan pensil sebagai galakan, selain sambutan itu mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa yang gembira melihat anak-anak mereka diraikan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Mohamad Dziauddin Mat Saad hadir ke sekolah berkenaan bagi meninjau pelaksanaan Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2026 yang bermula hari ini bagi Sekolah Kumpulan B.

Mohamad Dziauddin berkata secara keseluruhan sebanyak 237,473 pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk 8,040 murid prasekolah memulakan hari pertama persekolahan di lima daerah seluruh negeri itu.

Beliau berkata 19,705 adalah murid tahun satu dengan 10,147 murid lelaki dan 9,558 murid perempuan manakala bilangan murid tahun satu merekodkan penurunan sebanyak 492 orang tahun ini berbanding 20,197 orang tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan