KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Sebanyak 1,085,013 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM1.106 bilion berjaya dirampas di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang tahun lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata selain itu, 20,540 suspek turut ditahan melibatkan 18,352 kes berkaitan aktiviti pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata jumlah berkenaan menggambarkan ancaman pengedaran dan penyalahgunaan dadah masih membelenggu masyarakat bandar.
“Tindakan tegas turut diambil terhadap 498 tangkapan yang dikenal pasti sebagai penagih berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun dan tidak melebihi tiga sebatan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Fadil berkata dalam usaha mengekang aktiviti pengedaran dadah, sebanyak 77 ahli sindiket turut diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Beliau berkata selain itu, tindakan sitaan harta turut dilaksanakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan berjumlah RM14 juta melibatkan tanah, rumah, kenderaan, wang tunai dan barang kemas.
Fadil berkata pelupusan barang kes dadah dan kertas siasatan juga dijalankan melibatkan 24,149 barang kes dadah dengan berat keseluruhan 2,185 kilogram bernilai RM44 juta bagi tempoh 2009 hingga 2024.
“Sebanyak 3,527 kertas siasatan merangkumi dari 1993 hingga 2016 juga telah dilupuskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus berusaha memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial