AM

Kesedaran Premis Makanan Miliki Sijil BeSS Masih Rendah Di Kelantan

11/01/2026 11:31 PM

KOTA BHARU, 11 Jan (Bernama) -- Kesedaran pemilik premis makanan di Kelantan untuk memperoleh pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) masih rendah walaupun pensijilam itu diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata daripada lebih 5,000 premis makanan di negeri itu, hanya 235 premis memperoleh pengiktirafan tersebut setakat ini.

Beliau berkata kebanyakan pengusaha masih mengutamakan faktor rasa dan jualan semata-mata, sedangkan BeSS menekankan komitmen terhadap kebersihan premis, pengendalian makanan yang baik serta keselamatan kepada pengguna.

"Tahap kesedaran pengguna juga masih lemah apabila mereka cenderung memilih premis berdasarkan cita rasa makanan tanpa mengambil kira pensijilan atau standard kebersihan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus mempromosikan pengiktirafan BeSS kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah meningkatkan imej dan kepercayaan terhadap premis makanan.

Dalam pada itu, Dr Mohd Azman turut menyarankan pengusaha katering supaya memperoleh sijil Trust MyCatering yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keselamatan makanan serta pematuhan standard kebersihan, khususnya bagi penyediaan makanan berskala besar.

"Setakat ini, hanya 58 penyedia makanan di Kelantan memiliki sijil Trust MyCatering, dan diharapkan lebih ramai pengusaha memohon kerana ia juga percuma serta sah selama tiga tahun sebelum pembaharuan," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan