AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Sarawak Meningkat, 41 PPS Dibuka - JPBN

11/01/2026 09:08 AM

KUCHING, 11 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus menunjukkan trend peningkatan apabila 41 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat pagi ini, melibatkan beberapa bahagian utama di negeri itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan PPS berkenaan membabitkan bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri yang kini menempatkan sebanyak 3,890 mangsa daripada 1,175 keluarga.

Jumlah itu bertambah berbanding 3,546 mangsa daripada 1,030 keluarga di 40 PPS malam tadi

Menurut JPBN Sarawak, antara PPS yang mencatat peningkatan pemindahan mangsa banjir adalah di bahagian Kuching, khususnya di daerah Serian yang dikenal pasti sebagai kawasan zon merah bencana, melibatkan PPS Ranchan dan PPS Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Batu 29.

Selain itu, trend peningkatan turut direkodkan di bahagian Sibu dan Bintulu, masing-masing membabitkan PPS Bukit Arip dan PPS Dewan Suarah Bintulu.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir merekodkan sedikit peningkatan kepada 367 orang daripada 137 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 363 orang daripada 136 keluarga pada petang semalam.

JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa di daerah Beaufort itu ditempatkan di dua PPS.

Menurut kenyataan itu, banjir yang melanda daerah berkenaan menjejaskan penduduk di 11 kampung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan