KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Pasangan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghampiri gelaran Terbuka Malaysia 2026 selepas mara ke perlawanan akhir, esok.
Pada perlawanan separuh akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini, pilihan kedua Aaron-Wooi Yik mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia pertama mereka selepas menewaskan pilihan keenam dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.
Perlawanan set pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan terikat 21-21, tetapi bekas juara dunia 2022 itu kekal tenang untuk menang tipis 23-21.
Mengekori 10-12 dalam set kedua, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik dua kali itu menemui rentak untuk mendahului 16-12 dan menceriakan penyokong tuan rumah apabila menang 21-18 dalam aksi sengit yang berlangsung 50 minit.
Keputusan itu menyaksikan pasangan nombor dua dunia itu berpeluang menjadi pasangan tempatan menjulang gelaran beregu lelaki Terbuka Malaysia sejak kali terakhir dimenangi Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.
Aaron-Wooi Yik akan berdepan pilihan utama dan juara bertahan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan yang mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan pasangan England Ben Lane-Sean Vendy 8-21, 21-11, 21-18.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Aaron menyatakan kegembiraan kerana kembali ke perlawanan akhir berturut-turut di gelanggang sendiri, mengimbas kekalahan dalam set penentuan kepada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun 12-21, 21-15, 16-21 pada Masters Malaysia tahun lepas.
Menjelang perlawanan akhir esok, Aaron percaya kedua-dua pasangan mempunyai peluang sama rata merujuk kepada rekod pertemuan mereka yang seimbang 1-1.
“Tahun lepas mereka (Won Ho-Seung Jae) berada dalam prestasi yang menakjubkan tetapi ini kejohanan pertama tahun ini. Saya melihatnya sebagai 50-50 esok. Bagaimanapun, kami mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri,” katanya.
Wooi Yik mengakui tekanan tinggi dirasai untuk perlawanan akhir tetapi mereka berhasrat untuk menikmati permainan daripada terlalu memikirkannya.
Sementara itu, Seung Jae menyalahkan permulaan yang perlahan atas kekalahan set pertama kepada pasangan England manakala Won Ho menetapkan sasaran untuk mempertahankan gelaran tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial