AM

Pemandu Teksi, Pengusaha Bas Sekolah Di Pulau Pinang Terima Insentif RM600 Mulai Mac - Exco

09/01/2026 11:36 PM

GEORGE TOWN, 9 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan sumbangan insentif kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di negeri ini tahun ini yang akan disalur bermula Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata bantuan kewangan sebanyak RM600 itu adalah berbentuk tunai yang akan disalurkan secara bayaran terus ke akaun melalui pemindahan dana elektronik (EFT).

“Tahun ini merupakan tahun ke-13 sumbangan itu disalurkan kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di Pulau Pinang. Sejak 2013 hingga tahun lepas, keseluruhan insentif yang telah disumbangkan ialah sebanyak RM18.32 juta.

"Bayaran sekali gus akan dibuat kepada semua pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah yang memenuhi syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata permohonan perlu dibuat oleh pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah secara dalam talian sahaja tanpa perlu mengemukakan borang permohonan dan lain-lain dokumen secara fizikal.

Antara syarat permohonan ialah warganegara Malaysia, berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengundi di Pulau Pinang, berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), memiliki kad pemandu teksi, kereta sewa, teksi lapangan terbang, limosin atau teksi mewah serta menjalankan perkhidmatan teksi di Pulau Pinang sahaja.

Zairil berkata semua pemandu wajib berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah yang bekerja sendiri.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah yang layak agar  mengemas kini dokumen wajib menerusi laman web i-Sejahtera. 

Pemohon juga, katanya boleh ke mana-mana Pusat Khidmat ADUN dan Pusat Penyelaras KADUN sekiranya mempunyai sebarang masalah berhubung permohonan itu manakala senarai penuh syarat boleh dilayari menerusi i-Sejahtera https://isejahtera.penang.gov.my/syarat.php.

“Kerajaan negeri berharap sumbangan insentif itu dapat mengurangkan beban dihadapi pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di Pulau Pinang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan