DUNIA

AS Akan Jual Minyak Venezuela "Bagi Tempoh Tidak Pasti" - Setiausaha Tenaga

08/01/2026 12:33 PM

ISTANBUL, 8 Jan (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat (AS) Chris Wright pada Rabu berkata Washington perlu mengawal penjualan minyak Venezuela bagi membawa perubahan yang ingin dilihat di negara itu, sambil menegaskan bahawa AS akan menjual minyak Venezuela “bagi tempoh masa yang tidak pasti”, lapor Anadolu Ajansi.

“Kami akan memasarkan minyak mentah yang dikeluarkan dari Venezuela, pertama sekali minyak yang tersimpan dan tidak bergerak itu, dan kemudian bagi tempoh masa yang tidak pasti, kami akan menjual pengeluaran yang datang dari Venezuela ke pasaran,” kata Wright pada Persidangan Tenaga, Teknologi Bersih & Utiliti anjuran Goldman Sachs di Miami.

Beliau berkata hasil daripada jualan itu akan “didepositkan ke dalam akaun yang dikawal oleh kerajaan AS” dan seterusnya “disalurkan kembali ke Venezuela untuk manfaat rakyat Venezuela.”

“Daripada minyak itu disekat seperti yang berlaku sekarang, kami akan membenarkan minyak itu mengalir… ke kilang penapisan di Amerika Syarikat dan ke seluruh dunia bagi meningkatkan bekalan minyak, tetapi jualan itu akan dilakukan oleh kerajaan AS,” katanya.

Wright menjelaskan bahawa apabila terdapat kemajuan dengan kerajaan Venezuela, AS akan membolehkan alat ganti, peralatan dan perkhidmatan yang diperlukan diimport bagi mengelakkan keruntuhan industri minyak dan menstabilkan pengeluaran, selepas itu output dijangka meningkat semula secepat mungkin.

Beliau menegaskan bahawa bagi jangka panjang, AS akan mewujudkan keadaan yang diperlukan untuk syarikat-syarikat besar Amerika, yang pernah beroperasi atau ingin kembali beroperasi di negara itu, memasuki pasaran berkenaan.

Wright menambah bahawa Venezuela mampu mencapai pengeluaran tambahan sebanyak beberapa ratus ribu tong sehari dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana.

Presiden AS Donald Trump pada Selasa mengumumkan bahawa syarikat-syarikat Amerika akan terlibat dalam industri minyak Venezuela susulan campur tangan ketenteraan di negara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan