MELAKA, 8 Jan (Bernama) -- Kerajaan Melaka mahu memperkukuh kedudukannya sebagai hab maritim serantau apabila mengadakan lawatan rasmi ke Desan Shipyard, Istanbul untuk memuktamadkan kerjasama strategik projek Enrique of Malacca Shipyard, sebuah limbungan kapal moden bernilai RM1.8 bilion.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Projek Enrique of Malacca Shipyard akan dibangunkan di Zon Ekonomi Persisiran Pantai Selat Melaka (SM-WEZ) dengan akses terus ke laluan perkapalan antarabangsa yang paling sibuk dunia, iaitu Selat Melaka.
"Limbungan kapal ini diinspirasikan daripada tokoh pelayar Melayu terkenal, Panglima Awang atau Enrique de Malacca, sekali gus menggabungkan warisan maritim dengan teknologi pembinaan kapal moden.
"Merangkumi keluasan 9.42 hektar, projek ini akan dilaksanakan melalui usaha sama antara SM-WEZ Corporation sebagai agensi peneraju zon ekonomi khas itu dengan Henry The Black Shipyard Sdn Bhd sebagai pemaju projek serta kerjasama strategik dengan syarikat perkapalan terkemuka Türkiye, Desan Deniz, yang mempunyai pengalaman industri selama 47 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dengan tempoh pembinaan selama dua tahun, Enrique of Malacca Shipyard dijangka mula beroperasi pada 2028 dan berfungsi sebagai pemangkin utama pertumbuhan industri maritim di Selat Melaka dan rantau Asia Tenggara.
Katanya antara komponen utama projek berkenaan ialah Pembinaan dan Pembaikan Kapal (SBSR), Perkhidmatan Marin, Kemudahan Fasiliti Fabrikasi dan Komponen Tarikan Pelancongan Maritim.
"Melalui pelaksanaan Enrique of Malacca Shipyard, kerajaan negeri yakin projek ini akan menarik pelaburan antarabangsa, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai pemain penting dalam industri maritim global.
“Projek Enrique of Malacca Shipyard bukan sahaja memperkukuh keupayaan industri maritim negeri malah mengangkat semula legasi maritim Melaka ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama teknologi dan kepakaran global," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial