AM

KDN Masih Kumpul Maklumat Berhubung Dakwaan Kultus Korea Selatan - Saifuddin Nasution

07/01/2026 03:03 PM

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau masih dalam proses mengumpul maklumat berhubung dakwaan kewujudan satu kultus dari Korea Selatan yang didakwa beroperasi di negara ini.

Menjawab pertanyaan wartawan sama ada telah menerima sebarang maklumat berkaitan perkara itu daripada Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Saifuddin Nasution berkata buat masa ini beliau belum dapat mengulas lanjut kerana siasatan dan pengumpulan maklumat masih dijalankan.

“Saya masih mengumpul maklumat lagi,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Sumbangan Bantuan Kembali Ke Sekolah anjuran Puspanita Cawangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan  Menteri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Penaung Puspanita KDN yang juga isteri kepada Saifuddin Nasution, Datuk Norhayati Musa.

Saifuddin Nasution berkata majlis tersebut merupakan program pertama Puspanita Cawangan KDN bagi tahun ini, melibatkan lebih 300 penerima terdiri daripada anak-anak petugas KDN serta pelbagai agensi dan jabatan di bawah kementerian itu.

Beliau berkata penganjuran program berkenaan turut mendapat sokongan daripada beberapa syarikat swasta.

“Tujuan program ini untuk membantu meringankan perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan memandangkan sesi persekolahan akan bermula minggu depan. Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung keluarga terlibat,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu dimulakan di peringkat KDN dengan mengenal pasti penerima dalam kalangan anak-anak warga KDN, sebelum diperluaskan menerusi pelbagai program lain pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan turut memainkan peranan penting melalui pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan, dengan setiap pelajar daripada Darjah Satu hingga Tingkatan Enam menerima RM150 yang akan disalurkan melalui sekolah masing-masing.

“Gabungan peruntukan kerajaan, inisiatif badan seperti Puspanita serta sokongan syarikat swasta merupakan satu usaha yang baik dan wajar diteruskan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana usaha sebegini hanya dapat dilaksanakan dalam keadaan negara yang stabil dari segi politik dan makmur dari sudut ekonomi, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan