AM

FKPM UiTM Rembau Lancar Buku Khas Rai Sedekad Dalam Pendidikan Media

07/01/2026 12:40 PM

REMBAU, 7 Jan (Bernama) -- Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau melancarkan buku khas MassComm Rembau: Pulsing Through a Decennium sempena hampir sedekad fakulti itu dalam pembangunan pendidikan dan wacana komunikasi media.

Buku itu mendokumentasikan perjalanan FKPM UiTM Rembau sejak penubuhannya merangkumi sumbangan akademik, pembangunan mahasiswa serta peranan fakulti dalam memperkukuh literasi media dan pemikiran kritis masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Mustapha Nagoor berkata belia masa kini perlu memiliki ketajaman pemikiran dan prinsip kukuh dalam mendepani landskap media yang semakin kompleks.

“Media kini bukan sekadar saluran hiburan tetapi nadi kepada kestabilan sosiopolitik dan ekonomi negara. Tanpa komunikasi yang beretika, masyarakat mudah terperangkap dalam manipulasi maklumat yang boleh menggugat keharmonian,” katanya.

Mustapha berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku itu bersempena penganjuran program COMMPULSE #Disconnected: A World ‘Without’ Media di UiTM Kampus Rembau.

Sementara itu, Ketua Projek COMMPULSE Nurul Izzah Mohamad Zaky berkata program itu dilaksanakan untuk mengajak masyarakat menilai kepentingan komunikasi dan media dalam membentuk kefahaman kolektif.

“COMMPULSE melambangkan komunikasi sebagai nadi yang menggerakkan pemikiran dan menyatukan masyarakat manakala tema #DISCONNECTED mengajak kita merenung realiti dunia tanpa media serta implikasinya terhadap penyampaian maklumat dan kesedaran awam,” katanya.

Nurul Izzah berkata antara pengisian utama program ialah Forum Industri Media Matters: Navigating Truth, Trust and Transparency yang melibatkan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Malaysian Press Institute (MPI) serta Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM).

Program anjuran pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media FKPM UiTM Rembau turut melibatkan penyampaian sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan (PEYAKIN).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan