EKONOMI

Acara CEO Series 2026 Tumpu Petunjuk Dasar Pengaruhi Ekosistem Perniagaan Malaysia

06/01/2026 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Program CEO Series 2026 REHDA Institute yang dijadualkan pada 15 Januari ini, akan menumpukan aspek penilaian suasana ekonomi serta isyarat dasar yang akan mempengaruhi persekitaran perniagaan dan pelaburan di Malaysia sepanjang 2026.

Penganjuran yang masuk edisi ke-10 dan diadakan di Hotel Le Meridien di Petaling Jaya, Selangor, akan dirasmikan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Acara itu turut mengupas implikasi terhadap strategi industri, penggubalan polisi, persediaan jangka panjang tenaga kerja serta inisiatif-inisiatif nasional seperti Tahun Melawat Malaysia 2026. 

“Memandangkan pengaruh global dan serantau yang semakin memberi kesan terhadap keyakinan perniagaan serta aliran pelaburan di ASEAN, Malaysia kini berdepan tekanan untuk memperkukuh ketahanan ekonomi dan kesiapsiagaan tenaga kerja dalam 2026.

“Menerusi CEO Series 2026, kami akan meneliti bagaimana faktor-faktor serta perkembangan terkini membentuk hala tuju ekonomi Malaysia, terutamanya dalam sektor pembinaan dan hartanah,” menurut institusi itu dalam kenyataannya hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi REHDA Institute Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip menyifatkan acara itu sebagai platform dialog yang membolehkan peserta mengetengahkan kebimbangan selain mencadangkan perkara bagi potensi penambahbaikan dasar.

“CEO Series ini secara konsisten telah berperanan sebagai platform yang menghimpunkan sektor swasta dan pegawai kanan kerajaan yang membolehkan penglibatan secara langsung serta interaksi yang membina.

“Ini mencerminkan pengiktirafan oleh sektor awam bahawa dari perspektif sektor swasta, ada pelbagai isu yang memerlukan perhatian, sama ada melalui pendekatan lebih holistik atau pelaksanaan lebih cekap,” katanya.

Menurut REHDA Institute, persidangan itu akan turut merangkumi sesi fokus khas mengenai integrasi ekonomi Johor–Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Selain itu, bersempena persidangan ini, REHDA Institute akan turut melancarkan REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) atau Inisiatif Belia yang merupakan program bimbingan korporat bagi memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja melalui pengukuhan hubungan antara akademia dan industri.

Inisiatif itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada penuntut universiti terpilih mengenai kepimpinan serta realiti industri pembinaan dan hartanah, termasuk laluan kerjaya berkaitan.

Program RIYI itu akan dilancarkan pada acara CEO Series 2026 oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan