POLITIK

Warisan Calonkan Saddi Bagi Parlimen Kinabatangan, Mazliwati DUN Lamag

05/01/2026 02:44 PM

KINABATANGAN, 5 Jan (Bernama) -- Parti Warisan (Warisan) hari ini mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman sebagai calon parti itu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.

Warisan turut mengumumkan bekas calon parti itu bagi kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Mazliwati Abd Malek sebagai calon bagi PRK DUN Lamag.

Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking ketika mengumumkan nama kedua-dua calon itu di Dewan Sri Lamag di sini berkata pemilihan Saddi dan Mazliwati mendapat restu daripada bahagian parti itu di Kinabatangan.

Beliau berkata pilihan raya berkenaan merupakan suatu proses demokrasi yang perlu dilaksanakan dan Warisan menawarkan calon tepat kepada penduduk Parlimen Kinabatangan serta DUN Lamag untuk membawa perubahan di kawasan itu.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah meninggal dunia pada 5 Dis Lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK itu pada 24 Jan ini, manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan