KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Kalangan pelabur asing berstatus penjual bersih ekuiti Asia bagi minggu berakhir pada 2 Jan, 2026, dengan melepaskan pegangan bernilai US$1.05 bilion (US$1=RM4.06) merentasi lapan pasaran yang ditinjau oleh MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Dalam Laporan Aliran Dana hari ini, bank pelaburan itu menyatakan sebahagian besar aliran keluar dana berkenaan melibatkan India, Korea Selatan, Malaysia dan Thailand manakala empat pasaran lain menyaksikan aliran masuk dana.
Penjualan ekuiti itu hanya memaparkan aktiviti pengambilan untung serta kebimbangan berkaitan petunjuk ekonomi ketika ketidaktentuan pasaran global terus menjejaskan sentimen pelaburan.
MBSB IB menyatakan Taiwan mencatat aliran masuk dana asing bersih terbesar minggu lepas yang berjumlah US$1.04 bilion -- minggu kedua berturut-turut aliran masuk manakala Filipina merekodkan aliran masuk asing bersih kecil sebanyak US$4.4 juta, sekali gus menamatkan lima minggu aliran keluar dana asing.
Indonesia pula menyaksikan minggu ke-13 berturut-turut kemasukan aliran dana dengan aliran masuk bersih berjumlah US$124.4 juta manakala Vietnam mencatat minggu kedua berturut-turut aliran masuk asing bersih berjumlah US$61.8 juta.
Selain itu, pelabur asing juga merupakan penjual bersih di pasaran Thailand dengan aliran keluar sebanyak US$20.8 juta selepas dua minggu mencatat aliran masuk dana.
Di Malaysia, pelabur asing terus menjadi penjual bersih ekuiti tempatan untuk minggu keempat berturut-turut dengan aliran keluar dana sebanyak RM904.0 juta atau 65 peratus lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya.
Pelabur asing mencatat jualan bersih pada setiap hari dagangan dengan aliran keluar terbesar pada Rabu (RM270.0 juta), diikuti Selasa (RM261.7 juta), Jumaat (RM232.4 juta) dan Isnin (RM140.0 juta).
“Tiga sektor teratas mencatat aliran masuk bersih asing adalah telekomunikasi dan media (RM16.6 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM14.8 juta), dan teknologi (RM8.1 juta).
“Sebaliknya, tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih asing merangkumi perkhidmatan kewangan (RM482.8 juta), utiliti (RM258.2 juta) dan perladangan (RM75.9 juta),” katanya.
Menurut MBSB IB, institusi tempatan merupakan pembeli bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM924.1 juta manakala kalangan pelabur runcit tempatan menjadi penjual bersih untuk minggu kelima berturut-turut dengan aliran keluar bersih bernilai RM20.0 juta.
Dalam pada itu, purata jumlah dagangan harian menunjukkan peningkatan secara menyeluruh iaitu masing-masing pelabur runcit tempatan naik 3.6 peratus, institusi tempatan meningkat 18.1 peratus dan pelabur asing pula menokok 1.5 peratus, demikian menurut bank pelaburan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial