JITRA, 4 Jan (Bernama) -- Operasi syarikat peneraju penyelidikan ganoderma, Gano Excel Industries Sdn Bhd kini merangkumi lebih 100 rumah hijau khas bagi memastikan pengeluaran berskala besar dan konsisten untuk pasaran global syarikatnya dapat dikekalkan.
Pengasas dan Presiden kumpulan Gano Excel Leow Soon Seng berkata setiap rumah hijau itu berkapasiti sehingga 30,000 bongkah tanaman ganoderma.
"Setiap rumah hijau dilengkapi sistem kawalan mikroiklim, menjamin pertumbuhan ganoderma yang seragam, bersih dan berkualiti tinggi.
"Semua tanaman ditanam menggunakan media organik sepenuhnya tanpa bahan kimia, melalui proses pensterilan suhu tinggi manakala penuaian dilakukan secara manual pada tahap kematangan optimum," katanya.
Leow berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa baginda berkenan melawat ladang Gano Excel di Kampung Cherok Mokkan, dekat sini.
Menurut Leow, bongkah tanaman terpakai dikitar semula sebagai baja organik, sejajar dengan prinsip kelestarian alam sekitar.
Katanya sebagai peneraju dalam industri imunologi pemakanan berasaskan ganoderma, Gano Excel memiliki prasarana bertaraf antarabangsa yang mematuhi piawaian Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), selain diperakui di bawah Skim Organik Malaysia (myOrganic).
Syarikat itu turut menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk pemeriksaan Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap keselamatan, kualiti, dan ketulenan produk sebelum dipasarkan ke peringkat global.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan pelawaan agar Gano Excel meneroka potensi pengembangan perniagaan masa hadapan mereka di Perlis.
"Difahamkan syarikat ini mengendalikan ladang organik ganoderma terbesar di dunia berasaskan konsep ladang model berteknologi tinggi dengan pengurusan mampan," titah baginda.
Baginda turut berkenan melawat fasiliti pemprosesan syarikat, termasuk makmal kawalan kualiti, mikrobiologi, penyelidikan dan pembangunan serta analisis kimia bagi memastikan setiap produk diuji dan dipantau secara saintifik sebelum dipasarkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial