AM

JKR Labuan Tingkat Usaha Mitigasi Banjir Di Kawasan Terdedah

04/01/2026 02:54 PM

LABUAN, 4 Jan (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mengurangkan masalah banjir di beberapa kawasan di pulau itu. 

Pengarah JKR Labuan Mohd Faizul Ali Hanapiah berkata inisiatif itu diambil ekoran laporan air bergenang di beberapa lokasi menyebabkan mereka mengambil langkah proaktif mengenal pasti lokasi kerap berlaku banjir untuk intervensi segera. 

“Semasa musim hujan dan ditambah dengan air pasang besar, beberapa kawasan perumahan serta perkampungan telah terjejas. 

“Sebagai sebahagian daripada CSR kami, JKR telah turun padang untuk menilai situasi dan melaksanakan langkah mitigasi di kawasan yang paling memerlukan bantuan,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Mohd Faizul berkata 10 petugas teknikal jabatan digerakkan dalam operasi itu dengan dibantu kelengkapan serta jentera berkaitan bagi melaksanakan tugasan seperti pembersihan saliran dan kerja tanah bagi meningkatkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir berpanjangan. 

Beliau berkata aktiviti CSR hari ini memfokus pantai di Kampung Sungai Labu yang merupakan antara lokasi telah dikenal pasti kerana kedudukannya yang rendah di pesisiran pantai dan terdedah kepada risiko air pasang besar dalam tempoh hujan lebat. 

Mohd Faizul berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen jabatan yang bukan hanya terhadap pembangunan infrastruktur tetapi juga kesejahteraan komuniti, terutamanya dalam membantu penduduk semasa cuaca mencabar. 

“JKR akan terus memantau situasi dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan dan komuniti setempat untuk memastikan usaha mitigasi dilakukan dengan cekap, terutamanya semasa kemuncak musim monsun,” katanya. 

Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan isu berkaitan saliran atau banjir kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan segera. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan