SEPANG, 2 Jan (Bernama) -- Penempatan semula mesin pengimbas berteknologi tinggi di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, yang bermula semalam, bukan sahaja membantu melancarkan pergerakan penumpang tetapi juga meningkatkan pengesanan penyeludupan.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata sebelum ini, penumpang perlu melalui dua pos pemeriksaan (check point) iaitu di jambatan penghubung (link bridge) dan saringan keselamatan (gate screening security) yang dioperasikan oleh Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd.
"Jadi, bermula semalam (1 Jan) penumpang tidak perlu melalui pemeriksan di link bridge, sebaliknya mereka terus ke gate screening security yang kini diselia oleh AVSEC untuk pemeriksaan keselamatan sebelum dibenarkan berlepas dan secara tidak langsung dapat menjimatkan masa penumpang.
"Sekiranya hasil pengimbasan atau pemeriksaan keselamatan mengesan sebarang unsur mencurigakan termasuk melibatkan dadah, mata wang tunai, hidupan liar, instrumen boleh niaga atau barangan larangan lain, penumpang serta barangan berkenaan akan diserahkan kepada JKDM dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut...serta melancarkan aliran pergerakan penumpang ketika waktu puncak," katanya selepas melakukan tinjauan operasi bersama media di sini hari ini.
Anis Rizana berkata inisitiaf itu merupakan hasil kerjasama erat antara JKDM dan AVSEC, yang menyaksikan pendekatan pengimbasan dan pemantauan berasaskan penilaian risiko, risikan serta analisis trend diperkasakan.
Beliau berkata usaha itu membuahkan hasil positif iaitu kes penyeludupan keluar dadah menunjukkan penurunan ketara dari Disember 2023 hingga Disember 2025.
Pihak JKDM turut diberikan surat penghargaan daripada Kastam Korea Selatan atas keberkesanan langkah-langkah yang diambil dalam usaha mengekang penyeludupan bahan terlarang.
"Secara keseluruhannya, penambahbaikan ini bukan sahaja menyumbang kepada keselamatan dan pematuhan undang-undang, malah turut memastikan aliran pergerakan penumpang yang lebih lancar dan teratur, selaras usaha kerajaan menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada pelancong antarabangsa," katanya.
Susulan itu, Anis Rizana berkata pegawai kastam yang sebelum ini bertugas di bahagian pemeriksaan di jambatan penghubung telah ditempatkan di Balai Ketibaan.
Sementara itu, Pengurus Besar Operasi KLIA Terminal 1 Abd Hasman Abd Muhimin berkata lebih 60 mesin pengimbas berteknologi tinggi ditempatkan di pintu-pintu pelepasan antarabangsa di lapangan terbang itu.
"Dengan memindahkan proses pemeriksaan ke gate screening security, ia dapat membantu mengurangkan masa beratur antara lima hingga lapan minit ketika waktu puncak, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik kepada penumpang yang berlepas dari KLIA Terminal 1," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial