AM

Hartini Manfaat Platform G100 Perkasa Akses Kewangan Wanita Global

02/01/2026 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Wanita Malaysia pertama yang dilantik sebagai Presiden Kelab G100 Global Datin Dr Hartini Osman bertekad untuk meningkatkan akses kewangan dan kepimpinan perniagaan golongan kaum hawa menerusi penubuhan World Bank of Women.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Prihatin Malaysia itu berkata akses kepada perkhidmatan kewangan dalam kalangan wanita ketika ini sangat terhad, dan situasi tersebut bukan hanya berlaku di ASEAN tetapi juga di peringkat global.

Sehubungan itu, Hartini berkata cadangan penubuhan World Bank of Women yang dibangkitkan semasa Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN akan diangkat semula oleh Kelab G100 Global ke peringkat lebih tinggi termasuk sebagai agenda sampingan sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya sedang berusaha mengumpulkan pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan rangkaian kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat untuk bersama-sama membawa cadangan ini ke persidangan PBB.

“Saya juga akan mengadakan mesyuarat wilayah peringkat ASEAN di Filipina pada Jun ini untuk berkongsi mengenai cadangan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Hartini, yang juga Presiden WEF ASEAN 2025, berkata beliau akan memanfaatkan kedudukannya sebagai Presiden dan Pengerusi G100 Global bagi sayap filantropi, perniagaan dan pembasmian kemiskinan untuk memperkasa kepimpinan wanita dalam pelbagai aspek termasuk hak kesamarataan serta pendidikan.

Beliau berkata dalam tempoh setahun ini, fokus diberikan kepada usaha menyediakan platform kukuh untuk wanita  bersuara bagi memastikan ia didengari di peringkat lebih tinggi di peringkat global.

Hartini turut mengalakkan persatuan dan kelab wanita di Malaysia membina rangkaian lebih kukuh menerusi G100 Global dengan mengetengahkan aktiviti serta program masing-masing yang bersesuaian ke peringkat antarabangsa untuk manfaat ahli.

Kelab G100 Global menghimpunkan kelab wanita dari 100 negara dengan keanggotaan melebihi 500,000 orang dan berperanan menyokong usaha membawa suara serta agenda wanita ke peringkat PBB, WEF mahupun Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Beliau berkata selain itu, G100 akan berperanan mengetengahkan dasar berkaitan pembangunan wanita kepada kerajaan melalui penglibatan dalam program antara kerajaan di peringkat PBB, Kesatuan Eropah, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mahupun ASEAN.

G100 Global diterajui 100 pemimpin wanita dari seluruh dunia merangkumi 100 sayap global dan disokong 100 Country Chairs.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan