KUCHING, 2 Jan (Bernama) -- Sebanyak 617 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sedia digerakkan bagi perkhidmatan pengurusan bencana termasuk banjir.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata 13 pegawai psikologi juga bersedia untuk membantu.
“Dari segi pegawai dan kakitangan kita memang sedia secara maksimum, kita juga ada pasukan sokongan psikologi (PST) seramai 270 orang dan sukarelawan JKM seramai 230 orang.
“Kita tidak mahu mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) rasa tidak selesa terutamanya kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Surau Ar-Rahman, Kampung Sungai Batu, di sini, hari ini.
Setakat petang ini, jumlah mangsa banjir di Sarawak dicatatkan sebanyak 1,178 orang daripada 300 keluarga dengan 10 PPS aktif.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan mangsa terlibat adalah dari Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi Baru, Kampung Sungai Batu, Kampung Surih Iban, Taman Malihah, Kampung Tengah Sungai, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Sungai Maong di sekitar Kuching.
Turut terjejas Kampung Plaie di Kota Samarahan dan Kampung Siang Siang di Lawas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial