AM

Penduduk, Peniaga Kecil Felda Sahabat Nikmati Manfaat SARA

01/01/2026 08:11 PM

Oleh Ainul Durmahyanty Durming

LAHAD DATU, 1 Jan (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperkenalkan Kerajaan MADANI bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penerima inisiatif itu malah berhasil mewujudkan kitaran ekonomi sihat di luar bandar termasuk di kawasan Felda.

Tinjauan Bernama di Felda Sahabat, Tungku yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pekan Lahad Datu mendapati transaksi jualan peniaga kecil berdaftar dengan program SARA di kawasan perladangan sawit itu turut meningkat.

Pemilik kedai runcit di Felda Sahabat 07 Muhd Hairun Sah Hakim, 33, berkata terdapat peningkatan ketara transaksi pembelian direkodkan selepas kedainya menjadi rakan niaga bagi pelaksanaan program bantuan itu.

“Sebagai peniaga berdaftar, saya berpendapat SARA sangat membantu dari segi jualan dan pendapatan. Barangan saya terjual cepat berbeza daripada sebelum SARA diperkenalkan dengan transaksi melonjak daripada 100 kepada 1,000 sebulan,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi pengalaman, Muhd Hairun Sah berkata walaupun terdapat sedikit masalah pada mulanya, namun ia ditambah baik dari semasa ke semasa dan kini sistem itu bukan sahaja memudahkan pekedai malah banyak membantu penerima memilih barangan keperluan mereka.

“Apabila pelanggan datang ke kedai, mereka tahu barangan apa yang boleh dibeli dengan mengimbas kod barang menggunakan aplikasi MyKasih dan selepas (memilih barangan) mereka ke kaunter dengan MyKad untuk pembayaran,” katanya.

Muhd Hairun Sah berkata ramai pelanggannya terdiri daripada kategori B40 dari Kampung Tanjung Labian dan Tambisan dengan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung serta gula menjadi barangan utama dibeli.

“Kita fikir kita susah, rupanya ada lagi yang lebih susah. Ada beberapa pelanggan yang saya dengar bersyukur dengan bantuan SARA kerana membantu dapur mereka berasap atau boleh beli susu anak. Situasi seperti ini menyentuh perasaan.

“Harapan saya agar kerajaan meneruskan inisiatif SARA kerana bermanfaat kepada saya dan rakyat yang berhadapan masalah kos sara hidup selain bantuan ini benar-benar sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Penerima SARA Karina Popong, 50, berkata bantuan RM100 yang dikreditkan ke dalam MyKad sangat membantu meringankan beban keluarganya dalam mendapatkan barangan keperluan dapur, lebih-lebih ketika suami belum menerima gaji.

“Memang gembira menerima bantuan SARA RM100 kerana meringankan beban perbelanjaan. Saya berharap kerajaan dapat mengekalkan bantuan ini yang saya dan suami sering guna untuk membeli keperluan dapur seperti beras dan gula,” kata suri rumah itu.

Pekerja kedai runcit Umie Atiqah Amin Yusof, 25, pula berkata menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barang keperluan anaknya. 

 “Apabila bantuan SARA sudah masuk, perkara pertama terlintas di fikiran pastinya untuk keperluan anak seperti susu formula dan lampin pakai buang,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan