Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 31 Dis (Bernama) -- Seramai 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan oleh tentera Thailand semasa konflik sempadan pada Julai lepas, selamat kembali ke tanah air pada pagi Rabu selepas 155 hari dalam tahanan.
Pihak berkuasa Thailand membebaskan kumpulan tawanan itu di Pintu Sempadan Antarabangsa Prum di Wilayah Pailin, susulan perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Kemboja dan Thailand semasa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Kemboja-Thailand ketiga pada 27 Disember.
Antara perkara utama yang dipersetujui dalam mesyuarat itu adalah pembebasan anggota tentera yang ditawan di Wilayah Preah Vihear pada 29 Julai, selepas gencatan senjata terbaharu kekal dipatuhi sepenuhnya selama 72 jam.
"Kerajaan telah menggunakan segala saluran diplomatik yang ada serta rangka kerja undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi memastikan anggota tentera kita dapat disatukan semula dengan keluarga tersayang yang telah lama menanti.
Kemboja tetap berharap pembebasan ini akan menyumbang secara signifikan kepada pembinaan kepercayaan dan keyakinan bersama," kata Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Penghantaran pulang anggota tentera berkenaan juga selaras dengan semangat Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang ditandatangani pada 26 Oktober, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial