AM

KTMB Sasar 1.2 Juta Penumpang Guna ETS3 Pada 2026

31/12/2025 12:37 PM

JOHOR BAHRU, 31 Dis (Bernama) -- Seramai 1.2 juta penumpang dijangka menggunakan 12 perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) pada 2026 bagi laluan sektor selatan dan utara selepas perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Afzar Zakariya berkata KTMB menyasarkan purata 3,400 penumpang sehari termasuk 2,600 orang bagi laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru.

Beliau berkata purata harian 400 penumpang pula dijangka menggunakan laluan Johor Bahru-Butterworth dan Johor Bahru-Padang Besar.

“Mulai bulan ini, KTMB mengoperasikan lapan perkhidmatan ETS3 setiap hari iaitu empat perjalanan naik dan empat turun.

“Tahun hadapan, perkhidmatan ini akan disambung dari Johor Bahru ke Butterworth dan Padang Besar dengan masing-masing dua perkhidmatan, menjadikan keseluruhan 12 perkhidmatan yang dijangka mula beroperasi pada awal 2026,” katanya kepada Bernama.

Afzar berkata pengangkutan berasaskan rel memainkan peranan penting dalam pembangunan negara khususnya menerusi projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru dan Laluan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang disifatkan sebagai pencetus perubahan.

Beliau berkata RTS Link, yang menghubungkan Stesen Woodlands North di Singapura dan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru, dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan pengangkutan awam termasuk ETS3 serta perkhidmatan komuter di selatan.

“Apabila RTS Link beroperasi kelak, kita menjangkakan lebih ramai penumpang dari Singapura akan menggunakan rangkaian rel domestik seperti ETS3 dan komuter sebagai sambungan perjalanan ke bandar-bandar lain di Malaysia,” katanya.

Daripada sudut ekonomi, Afzar berkata peningkatan kemasukan pelawat dari Singapura dijangka merancakkan sektor hospitaliti, peruncitan serta perkhidmatan khususnya di Johor Bahru, Kluang, Melaka dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata dengan sokongan perkhidmatan rel seperti ETS3, KTMB melihat RTS Link, dijangka mula beroperasi pada awal 2027, sebagai penghubung strategik yang akan mengukuhkan lagi ekosistem pengangkutan rel serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan