AM

Isu Jambatan Sungai Rambai Perlu Diberi Keutamaan, Dibangkitkan Sejak Tahun Lepas - Adun

30/12/2025 03:38 PM

MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Keperluan pembinaan jambatan baharu Sungai Rambai yang dibangkitan sejak tahun lepas kini perlu dijadikan keutamaan susulan penutupan jambatan sedia ada akibat keretakan struktur di laluan penghubung antara Melaka dan Johor itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata pihaknya telah membawa perkara itu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk memohon pembinaan jambatan baharu memandangkan infrastruktur sedia ada tidak sesuai digunakan bagi jangka masa panjang.

“Banyak faktor perlu dilihat dan diambil tindakan segera apabila jambatan yang dibina sekitar awal 1950-an menghubungkan Kesang dan Tangkak di sebelah Johor serta Sungai Rambai itu hanya menjalani kerja penyelenggaraan biasa tanpa sebarang naik taraf besar.

“Jadi apabila berlakunya keretakan pada tiang dipercayai akibat rempuhan sisa pokok yang dibawa arus deras hingga membawa kepada penutupan jambatan itu semalam, ia memberi isyarat perkara ini perlu disegerakan demi kesejahteraan penduduk di kedua-dua negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Siti Faizah berkata dengan situasi hujan lebat berterusan serta peningkatan paras air sungai yang berlaku sejak kebelakangan ini, baik pulih atau pembinaan jambatan baharu perlu dipercepatkan kerana ia dipercayai memberi tekanan tambahan kepada struktur jambatan berkenaan, sekali gus menyebabkan keretakan pada tiang sokongan.

Beliau berkata meskipun terdapat kerja pembersihan sungai secara berkala setiap tahun oleh pihak berkuasa negeri, namun taburan hujan luar biasa tahun ini dengan jumlah air yang sangat banyak berkemungkinan menyebabkan arus deras telah membawa banyak sisa pokok sehingga hentakan kuat terjadi kepada jambatan lama ini.

Dalam pada itu, Siti Faizah berkata perbincangan dua hala antara Kerajaan Negeri Melaka dan Johor berkaitan pembinaan jambatan baharu itu telah bermula sejak tahun lepas, melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau berkata perancangan masa hadapan kerajaan negeri di kawasan Sungai Rambai termasuk menaik taraf Dataran Riverside berhampiran Laman Belia yang telah diluluskan peruntukan serta cadangan pembinaan jeti bagi laluan bot pelancongan (cruise) turut menjadi antara faktor pembaikan jambatan itu perlu dilakukan segera. 

“Cadangan pembinaan jeti dan laluan bot pelancong ini turut menjadi antara faktor keperluan jambatan baharu kerana jambatan sedia ada terlalu rendah dan tidak membenarkan bot atau sampan melaluinya,” katanya.

Beliau berkata walaupun kesan penutupan jambatan itu tidak menjejaskan secara serius pergerakan penduduk kerana terdapat laluan alternatif melalui Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), penduduk kampung masih berdepan kesukaran terutama untuk perjalanan harian.

“Bagi penduduk setempat yang biasa menggunakan jambatan ini untuk mengelakkan kesesakan di jalan utama terutama pada musim cuti, mereka kini terpaksa menggunakan laluan lebih jauh, khususnya untuk urusan harian seperti ke sekolah dan kemudahan kesihatan. 

“Ini adalah kerana kawasan Kesang dan Sungai Rambai mempunyai hubungan rapat dari segi sosial dan kemudahan asas, termasuk perkhidmatan kesihatan, banyak penduduk Kesang menggunakan kemudahan di Sungai Rambai,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, beliau mendapat maklumat bahawa JKR kini sedang menjalankan kajian terperinci termasuk kemungkinan pemasangan jambatan sementara (bailey bridge) bagi memudahkan pergerakan penduduk sementara menunggu pembinaan jambatan baharu yang lebih selamat.

“Kami harapkan sekurang-kurangnya jambatan sementara dapat dipasang dalam tempoh terdekat demi keselamatan dan kemudahan masyarakat setempat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan