SUKAN

Beri Ruang Kim Swee Capai Sasaran Di NFDP - Mohd Yusoff

29/12/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Datuk Ong Kim Swee wajar diberikan ruang sepenuhnya bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, kata pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Mohd Yusoff berkata kepercayaan itu perlu merangkumi semua aspek, termasuk penilaian kedudukan barisan kejurulatihan sedia ada atau baharu, selain modul pembangunan yang akan digunakan.

Beliau menegaskan adalah penting untuk Kim Swee bekerjasama dengan individu yang diyakini mampu membantu mencapai keputusan yang diingini, di samping mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif.

“Tak boleh halang dia (Kim Swee). Jika terikat dengan perkara lama, ia mungkin mengganggu dan menyekat usaha untuk buat yang lebih baik.

“Apabila dia dilantik, kita perlu beri sepenuhnya kepercayaan dan kuasa kepadanya untuk menentukan barisan kejurulatihan atau bentuk silibus bagi memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Jika terlalu banyak batasan, ia hanya akan menyukarkan tugasnya. Jadi, saya fikir kita perlu beri ruang kepadanya untuk berkarya mengikut caranya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Isnin lepas, Kim Swee yang juga bekas ketua jurulatih Sabah FC diumumkan sebagai Pengarah Teknikal NFDP baharu, menggantikan Oscar Francisco Gonzalez berkuat kuasa 1 Dis lepas.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu memiliki reputasi dan pengalaman luas bermula sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sebelum menerajui skuad Harimau Muda, seterusnya dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 2016.

Jurulatih berusia 55 tahun itu juga pernah memegang jawatan Pengarah Teknikal FAM pada 2021.

Bagaimanapun, pelantikan Kim Swee dicemari isu 'periuk nasi' jurulatih selepas media melaporkan beliau bersedia menilai barisan jurulatih sedia ada, sama ada mereka masih relevan untuk dikekalkan atau perlu dilepaskan demi kelangsungan program.

Media turut melaporkan Kim Swee mengakui terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu sehingga mengeluarkan kenyataan negatif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan