JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Rakam Keterangan 18 Saksi Berhubung Kes Letupan Di Nilai

29/12/2025 04:10 PM

SEREMBAN, 29 Dis (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan 18 saksi setakat ini berhubung kejadian letupan disyaki menggunakan bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) di kawasan Desa Palma, Nilai pada 22 Dis lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kesemua saksi termasuk orang awam dan pasukan perubatan dipanggil bagi membantu siasatan kes melibatkan suspek lelaki berusia 62 tahun yang disyaki terbabit dengan kejadian itu.

“Kita tidak menolak kemungkinan akan ada saksi lain dipanggil untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan ini.

“Motif kejadian masih belum dipastikan, dan suspek yang mengalami kecederaan masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini... dia masih lemah namun dilaporkan stabil... hari ini, kita akan sambung soal siasat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata orang ramai dinasihat supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri akan mengganggu proses siasatan dan masyarakat diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Alzafny berkata suspek ditahan di Batang Benar, Nilai pada 4.15 petang dua hari lepas dengan kesan melecur pada muka, badan, tangan serta kaki, dan ditahan reman selama seminggu hingga 3 Jan depan.

Beliau juga berkata suspek bergerak secara sendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas atau gengsterisme.

Suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti serta peralatan yang dirampas di rumah sewanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan