EKONOMI

TIV Sektor Automotif Dijangka Susut 2.0 Peratus Pada 2026 - CIMB Securities

29/12/2025 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Jumlah keseluruhan industri (TIV) industri automotif dijangka susut 2.0 peratus tahun ke tahun kepada 774,000 unit pada 2026 daripada 790,000 unit pada 2025, terjejas oleh beberapa cabaran.

Ini termasuk purata harga jualan lebih tinggi dan potensi berlaku semakan semula terhadap metodologi pengiraan nilai pasaran terbuka (OMV) yang akan meningkatkan duti eksais secara berkesan.

Bagaimanapun, walaupun dengan cabaran ini, CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan permintaan untuk jenama nasional seperti Proton dan Perodua kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan yang stabil daripada pembeli kali pertama dan segmen pasaran massa serta subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95.

Selain itu, firma broker saham itu menjangkakan jenama dari China akan terus mendapat daya tarikan dalam pasaran domestik, menjejaskan jenama Jepun, didorong oleh strategi penetapan harga yang agresif bertujuan untuk menguasai bahagian pasaran lebih besar.

“Sementara itu, kami difahamkan bahawa Kementerian Kewangan telah memaklumkan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bahawa semakan semula metodologi pengiraan OMV akan ditangguhkan selama enam bulan lagi kepada Julai 2026 dari Januari 2026 sebelum ini.

“Kami melihat ini sebagai kelegaan (memberi kesan positif) jangka pendek untuk pemain industri terutamanya bagi pengeluar kereta yang mempunyai pendedahan yang lebih tinggi terhadap kenderaan yang dipasang di dalam negara. Kami berpendapat ia akan memberi manfaat kepada jenama Jepun dan Eropah seperti Toyota, Honda, Mazda, BMW dan Mercedes-Benz,” kata CIMB Securities dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma broker saham itu berkata Presiden MAA Mohd Shamsor Mohd Zain telah menjelaskan bahawa kenderaan elektrik (EV) model import sepenuhnya (CBU) yang memasuki Malaysia sebelum 28 Disember, 2025 akan terus layak mendapat pengecualian duti import dan eksais dengan kelayakan ditentukan oleh tarikh kemasukan kenderaan dan bukannya penghantaran kepada pelanggan.

“Kami percaya ia memberi manfaat terutamanya kepada EV China seperti BYD, Zeekr, dan XPeng. Secara keseluruhan, perkembangan ini dijangka akan memberikan sokongan jangka pendek kepada permintaan kenderaan bukan nasional pada separuh pertama 2026,” katanya.

CIMB Securities juga menjangkakan segmen nasional akan mempunyai bahagian jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) yang lebih tinggi pada 2026, susulan pelancaran e.MAS 5 oleh Proton pada November tahun ini dan QV-E oleh Perodua pada bulan ini (Disember, 2025).

BEV menyumbang 4.1 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025 berbanding 2.4 peratus pada 2024, manakala jumlah jualan kenderaan BEV dan hibrid melonjak 45 peratus tahun ke tahun kepada 47,783 unit, membentuk 8.2 peratus daripada TIV sepanjang tempoh tersebut.

CIMB Securities berkata EV CBU akan tertakluk kepada duti import tambahan sebanyak 30 peratus dan duti eksais 10 peratus bermula Januari, 2026.

“Bagaimanapun, EV pemasangan tempatan (CKD) akan terus menikmati pengecualian cukai sehingga 2027. Oleh itu, kami berpendapat jenama nasional sudah bersedia untuk menguasai bahagian pasaran EV yang lebih besar mulai 2026 dan beberapa tahun lagi apabila jenama bukan nasional secara beransur-ansur meningkatkan pengeluaran pemasangan tempatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan