Oleh Nabilah Salleh dan Nurrul Huda Ahmad Lutfi
KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis yang baharu masih boleh ditubuhkan tanpa memerlukan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dengan syarat PAS dan Bersatu mempunyai kesepakatan untuk menyelesaikan kemelut politik yang melanda kedua-dua parti itu ketika ini, menurut penganalisis.
Profesor Kehormat (Sains Politik), Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata kerajaan negeri baharu itu juga boleh direalisasikan jika Bersatu sanggup memberi laluan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS untuk dilantik sebagai Menteri Besar.
Ahmad Fauzi berkata beliau bagaimanapun agak ragu PAS dan Bersatu boleh mencapai kesepakatan itu susulan siri episod sehingga membawa kepada krisis kepimpinan di negeri itu termasuk peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diisytihar kosong.
“Melainkan Bersatu dan PAS sama-sama bersetuju untuk jawatan Menteri Besar itu terus disandang oleh PAS, tetapi… kelihatannya tidak begitu berdasarkan tindakan Bersatu yang telah mengusulkan calon Menteri Besar kepada Istana Perlis,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, penganalisis pilihan raya Dr G. Manimaran pula berpandangan PRN awal atau snap election merupakan jalan penyelesaian terbaik bagi negeri Perlis sekiranya kebuntuan politik ketika ini berlarutan.
Beliau berkata langkah itu akan membolehkan mandat baharu dikembalikan kepada rakyat serta mengelakkan keadaan DUN Perlis tergantung yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
“Walaupun terdapat beberapa pilihan lain termasuk melantik Menteri Besar baharu atau membentuk kerajaan campuran, percaturan politik semasa menjadikan semua opsyen itu semakin rumit.
“Maka, kembalikan mandat kepada rakyat supaya ada kerajaan yang lebih stabil dan tiada situasi DUN tergantung,” katanya.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Jamaei Hamil yang sependapat dengan Manimaran berkata sekiranya kemelut politik itu gagal diselesaikan melalui kesepakatan PAS dan Bersatu, maka membubarkan DUN adalah antara pilihan.
Sementara itu, penganalisis politik USM Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata terdapat kewajaran untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji yang diisytihar kosong demi kestabilan majoriti dan Kerajaan Negeri Perlis.
Sivamurugan berkata biarpun DUN Perlis sudah mencapai tempoh tiga tahun dan pelaksanaan PRK memerlukan kos besar, namun pelaksanaannya dilihat sebagai langkah terbaik dalam usaha menjamin kestabilan majoriti untuk pembentukan kerajaan negeri.
"Sebab kita tahu, tujuan Speaker (DUN) berpandangan ketiga-tiga itu kosong adalah untuk membolehkan kestabilan majoriti dalam DUN itu dapat diisi. PRK itu memberikan peluang kepada parti dan gabungan politik menilai sokongan sebenar rakyat selepas krisis dalaman yang meruncing di Perlis,” katanya.
Speaker DUN Perlis Rus'sele Eizan pada sidang media di Kompleks Seri Putra di Kangar semalam memaklumkan kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN itu selepas keahlian tiga ADUN kawasan berkenaan daripada PAS terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi tiga DUN berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan ADUN Perikatan Nasional (PN) di negeri itu didakwa telah bertemu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Berikutan itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan media pada 24 Dis memaklumkan keahlian ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, PN memenangi 14 kerusi DUN di Perlis, terdiri daripada sembilan ADUN PAS dan lima ADUN Bersatu manakala seorang ADUN Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi DUN Indera Kayangan.
Berkongsi pendapat sama, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata tiga kekosongan DUN itu perlu diisi dengan pelaksanaan PRK meskipun DUN Perlis telah genap tiga tahun.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM itu berkata ini kerana kekosongan luar jangka itu diisytiharkan berlaku oleh Speaker DUN selepas keahlian tiga ADUN kawasan itu daripada PAS terhenti serta-merta.
"Bila diisytiharkan kosong, kena buat PRK. Sebab itu, PAS tak isytihar dipecat, kalau dipecat mereka masih lagi mengekalkan status sebagai ADUN, tetapi diisytiharkan (keahlian) terhenti serta-merta, dan Speaker pun berpuas hati dan mengisytiharkan (tiga DUN itu) kosong, bila kosong kena buat PRK.
"Kalau dipecat, mereka ini (tiga bekas ADUN) masih boleh lagi jadi wakil rakyat Bebas dan masih lagi boleh membentuk kerajaan berdasarkan majoriti mudah, tetapi ini jelas menunjukkan ada masalah dalam PAS menyebabkan tiga ADUN ini menolak Menteri Besar, sepatutnya boleh berunding secara adik-beradik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial