TANJUNG MALIM, 26 Dis (Bernama) -- Sebanyak 20 penduduk Kampung Cegar, Bidor berpeluang menyaksikan sendiri kepesatan teknologi automotif tempatan apabila dibawa melawat Kilang Proton di sini pada Isnin lepas menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat MIDA Zainal Abdul Rahman berkata lawatan itu adalah sebahagian daripada Program Kampung Angkat MADANI MIDA yang bertujuan merapatkan jurang antara industri dengan komuniti luar bandar.
“Peserta lawatan merangkumi ibu bapa serta anak-anak penduduk Kampung Cegar yang kini berada dalam cuti persekolahan bersama dengan beberapa petugas MIDA.
“Kita memilih Proton sebagai lokasi lawatan kerana syarikat itu merupakan jenama nasional yang telah lama beroperasi sejak pengeluaran kenderaan pertama pada 1985 dan menjadi simbol kebanggaan industri automotif Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama.
Program berkenaan juga membuka ruang kepada anak-anak muda untuk melihat secara dekat persekitaran kerja dalam industri automotif, sekali gus memberikan inspirasi kepada mereka yang mungkin berminat menyertai Proton pada masa depan.
Zainal berkata pihaknya berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberikan manfaat berterusan kepada komuniti setempat, selaras dengan usaha memperkukuh hubungan antara industri dengan masyarakat luar bandar.
“Kami merakamkan penghargaan kepada pihak Proton atas kesudian menerima kehadiran peserta lawatan, sambil menyifatkan peluang melawat operasi sebuah syarikat automotif ternama sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna, khususnya kepada komuniti luar bandar,” katanya.
Sementara itu, dua peserta remaja menyifatkan lawatan eksklusif ke fasiliti Proton sebagai pengalaman yang membuka mata mereka terhadap dunia industri automotif tempatan.
Mereka didedahkan dengan keseluruhan proses pembuatan kenderaan bermula daripada pemasangan rangka, pengecatan sehinggalah peringkat kawalan kualiti sebelum sesebuah kereta dipasarkan.
Muhammad Zaim Abdul Samad, 14, berkata dia teruja melihat penggunaan teknologi moden dan automasi yang diaplikasikan di kilang berkenaan, sekali gus mengubah persepsinya bahawa industri automotif tidak lagi bergantung sepenuhnya pada tenaga buruh manual.
“Peluang melihat proses pembuatan kereta nasional itu cukup bernilai dan tidak semua berpeluang merasai pengalaman ini. Lawatan ini memberikan inspirasi dan motivasi kepada saya untuk menceburi bidang automotif pada masa hadapan kerana saya memang meminati bidang ini sejak kecil lagi,” katanya yang berterima kasih kepada MIDA dan Proton atas peluang berharga yang diberi.
Sementara itu, Nor Alessa Balqis Amran, 18, pula berkata dia berpeluang melihat secara dekat tahap kecanggihan teknologi yang digunakan, terutamanya penggunaan mesin automatik berteknologi tinggi untuk memasang enjin dan komponen kenderaan dengan tepat serta teratur.
“Pendedahan ini turut mengubah tanggapan saya kepada bidang automotif kerana saya nampak bidang ini tidak terhad kepada kaum lelaki, sebaliknya turut menawarkan cabaran dan peluang kepada kaum wanita untuk membina kerjaya dalam industri ini,” katanya yang berharap program seumpama ini dapat diadakan lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial