JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak Sembilan Tahun Hilang Di Pantai Kemayang Ditemukan Lemas - Polis

24/12/2025 05:37 PM

BACHOK, 24 Dis (Bernama) -- Kanak-kanak sembilan tahun yang hilang di Pantai Kemayang semalam, ditemukan lemas di pantai yang sama, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Mohd Azrie Sulaiman berkata mayat Muhamad Irfan Afendi, ditemukan oleh penduduk kampung pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai bermain air sebelum dihanyutkan arus.

Beliau berkata mangsa ditemukan 10.45 pagi tadi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia bagi proses bedah siasat.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di pantai, memandangkan negara masih berada dalam musim Monsun Timur Laut.

“Polis bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sentiasa melakukan pemantauan harian di sepanjang pesisir pantai, bagi menasihatkan pengunjung agar berwaspada,” katanya kepada media di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, bapa kanak-kanak berkenaan Mohd Afendi Ya, 44, berkata Muhamad Irfan sepatutnya menyertai majlis berkhatan beramai-ramai hujung minggu ini.

“Apakan daya takdir menentukan dia lebih awal dijemput illahi. Sebelum ini saya ada membuat janji untuk membawa dia (Muhamad Irfan) mandi di Pantai Kemayang, bagi memenuhi hasratnya sebelum berkhatan.

“Saya tidak menjangkakan tragedi ini berlaku kerana sebelum dibawa arus, saya sudah memanggilnya supaya naik ke daratan dan dia hanya bermain di gigi air,” katanya.

Mohd Afendi berkata hanya sekelip mata anaknya dibawa ombak dan beliau agak terkilan kerana gagal menyelamatkannya kerana ombak agak kuat ketika itu.

Semalam, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus, ketika mandi di pantai berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan