AM

Pelajar 16 Tahun Kuasai Bidang Pengaturcaraan, Bangun Perisian Keselamatan

24/12/2025 04:33 PM

ALOR SETAR, 24 Dis (Bernama) -- Walaupun baru berusia 16 tahun, seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini berupaya mendalami bidang pengekodan (coding) dan pengaturcaraan sehingga menarik perhatian sebuah syarikat untuk membangunkan perisian keselamatan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Omar, Muhammad Khawarizmi Muhamad Kamalrul Zaman menjalinkan kerjasama dengan syarikat itu bagi menyediakan perisian yang digunakan untuk latihan sebuah pasukan keselamatan negara.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata mula serius dalam minat terhadap bidang pengekodan pada 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dia dan adiknya, Muhammad Khazini, 13, cuba membangunkan permainan dalam talian.

“Kami cuba menghasilkan permainan sendiri dan mencuba pelbagai game engine sebelum menemui yang sesuai. Kemudian, kami buat pula game launcher menggunakan bahasa pengaturcaraan.

“Kami belajar tutorial pengekodan daripada YouTube untuk memahami dengan lebih mudah sehingga saya mula membaca dokumen rasmi berkaitan pengekodan dan pengaturcaraan semasa tingkatan tiga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhammad Khawarizmi berkata penguasaan bidang pengekodan dan pengaturcaraan bukan sahaja mengasah ketajaman minda dan kemahiran inovasi tetapi juga memberi impak positif terhadap pencapaian akademiknya di sekolah.

Remaja itu berkata pemahaman mendalam terhadap bidang itu meningkatkan penguasaan dalam subjek seperti Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Bahasa Inggeris.

Sementara itu, bapanya Muhamad Kamalrul Zaman Zainol, 41, berkata telah menghabiskan puluhan ribu ringgit termasuk menjual sebuah kenderaan bagi membiayai pembelian pelbagai perkakasan TMK seperti komputer dan pelayan (server) untuk digunakan Muhammad Khawarizmi.

“Sebagai bapa, tidak ada masalah untuk berkorban sedikit dan melabur untuk anak mempelajari bidang pengekodan yang merupakan bidang amat penting pada masa hadapan selain menjamin masa depan mereka,” katanya.

Pengetua SMK Dato’ Syed Omar Noor Anizah Jamal berkata pihak sekolah sentiasa menggalakkan pelajar menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) termasuk pengekodan dan pengaturcaraan serta menyediakan peralatan bagi menyokong pembelajaran mereka.

“Kami sedang membangunkan bilik STEM yang akan dilengkapi peralatan untuk mempelajari bidang itu. Banyak inovasi boleh dihasilkan dan sentiasa diusahakan oleh pelajar.

“Kami juga memastikan pelajar termasuk Muhammad Khawarizmi menyertai pelbagai pertandingan STEM. Kami sentiasa menyokong dan berhubung dengan ibu bapanya serta berbincang mengenai projek boleh disertainya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan