KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Verde Resources Inc, syarikat sekutu Borneo Oil Bhd telah memohon untuk menyenaraikan saham biasanya di pasaran saham Nasdaq, bersempena dengan cadangan tawaran awam tajaan jamin di Amerika Syarikat (AS).
Borneo Oil menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata mengenai cadangan penyenaraian Nasdaq itu, Verde Resources telah memfailkan penyata pendaftaran secara terbuka di Borang S-1 dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS untuk tawaran awam yang ditaja jamin dengan jangkaan hasil kasar antara US$5 juta (US$1 = RM4.06) dan US$8 juta.
Syarikat itu berkata Verde Resources berhasrat untuk menggunakan hasil penyenaraian tersebut bagi mempercepatkan beberapa inisiatif pertumbuhan strategiknya, termasuk mengembangkan pengeluaran dan pengedaran teknologi BioAsphaltnya di Amerika Utara dengan rakan kongsi komersialnya, Ergon Asphalt & Emulsions, Inc.
"Hasil tersebut juga akan digunakan untuk mengembangkan model pelesenan bagi mewujudkan perkongsian komersial di pasaran baharu dan rantau lain di seluruh dunia serta terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan teknologi dan produk yang menangani cabaran alam sekitar kritikal," katanya.
Borneo Oil memegang 13.449 peratus kepentingan ekuiti dalam Verde Resources setakat akhir tahun kewangan 2025.
Verde Resources merupakan peneraju baharu dalam produk dan teknologi infrastruktur yang mampan dari segi alam sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial