AM

Agong Lawat Dua Pusat Pembuatan Pertahanan Teknologi Canggih Di Abu Dhabi

23/12/2025 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melawat dua pusat teknologi canggih serta fasiliti pembuatan milik konglomerat pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terkemuka Kumpulan EDGE iaitu NIMR dan CARACAL di Abu Dhabi, hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kunjungan itu merupakan sebahagian daripada Lawatan Khas Seri Paduka Baginda ke UAE bermula semalam.

Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke NIMR di Pusat Perindustrian Tawazun, Abu Dhabi disambut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Hamad Al Marar.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mendengar sembah taklimat oleh Presiden Kluster Platform dan Sistem EDGE Khaled Al Zaabi.

Usai lawatan di NIMR, Sultan Ibrahim berangkat ke CARACAL dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hamad Al Ameri.

NIMR merupakan pengeluar kenderaan tentera berprestasi tinggi berpangkalan di Abu Dhabi dan merupakan entiti di bawah Kumpulan EDGE manakala CARACAL ialah pengeluar senjata kecil terkemuka.

Semasa lawatan di CARACAL, Seri Paduka Baginda turut mempamerkan kemahiran menembak menggunakan senapang penembak tepat (sniper) CSR 308 di lapang sasar 100 meter.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan