KUALA TERENGGANU, 23 Dis (Bernama) -- Atlet olahraga negara Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif dianugerahkan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atas kejayaannya memenangi pingat gangsa dalam acara 110 meter (m) lari berpagar di Sukan SEA Thailand 2025 baru-baru ini.
APM dalam kenyataan memaklumkan kejayaan atlet berusia 20 tahun itu yang juga anggota sukarela APM Dungun, Terengganu bukan sahaja membanggakan negara, malah mencerminkan semangat juang tinggi sebagai seorang warga APM.
“APM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pbt (PA) Mohamad Armin Zahryl. Beliau merupakan atlet negara yang telah meraih kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dengan meraih gangsa 110m lari berpagar di Sukan SEA 2025,” menurut kenyataan itu.
Majlis penganugerahan sijil itu disempurnakan Ketua Pesuruhjaya APM Mohammad Abiddin Abd Rahman di Ibu Pejabat APM, Kajang hari ini.
APM memaklumkan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya merupakan penghargaan tertinggi yang dianugerahkan kepada individu terpilih yang memberikan sumbangan luar biasa serta mengharumkan nama pasukan, organisasi dan negara.
“Penerima sijil ini turut dianugerahkan emblem dan lencana khas sebagai simbol penghormatan serta pengiktirafan tertinggi daripada pihak APM,” menurut kenyataan itu.
APM memaklumkan penganugerahan berkenaan diharap bukan sahaja menyuntik semangat Mohamad Armin Zahryl, malah terus memperkukuh imej APM sebagai organisasi yang melahirkan anggota berwibawa, berdisiplin dan berprestasi tinggi di peringkat nasional serta antarabangsa.
Pada aksi final 110m lari berpagar yang berlangsung di Stadium Suphachalasai, Bangkok 12 Dis lepas, Mohamad Armin Zahryl mencatatkan masa 13.85 saat (s), di belakang atlet Filipina, Tolentino John Christopher yang merangkul emas, manakala wakil Singapura Ang Chen Xiang meraih perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial