KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara dan ekosistem halal dengan pengenalan rasmi ayam belanda dari Rusia yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke pasaran tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pengenalan ayam belanda halal itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk mempelbagaikan sumber protein negara, selain memastikan pematuhan ketat terhadap aspek halal, keselamatan makanan dan kualiti.
Beliau berkata inisiatif itu turut menandakan kerjasama dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Rusia dalam memperkasakan perdagangan makanan, jaminan halal serta ketahanan rantaian bekalan.
“Pengimportan ayam belanda dari Rusia ini dilaksanakan berdasarkan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan import Malaysia, termasuk pengiktirafan Wilayah Penza sebagai kawasan bebas penyakit selesema burung berpatogenik tinggi (HPAI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan ayam belanda halal dari Rusia bertemakan From Russia With Love di sini hari ini.
Dengan pengenalan produk tersebut di Malaysia, Mohamad berkata janji yang dibuat semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia pada Mei lepas bahawa ayam belanda dari Rusia akan berada di pasaran Malaysia sempena musim perayaan tahun ini, telah direalisasikan.
“Rakyat Malaysia kini boleh menikmati ayam belanda yang halal, selamat dan berkualiti, sama ada untuk sambutan perayaan atau sebagai pilihan makanan harian,” katanya.
Majlis berkenaan disempurnakan Mohamad dan turut dihadiri Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia Naiyl M Latypov, sekali gus menzahirkan kepentingan kerjasama strategik kedua-dua negara dalam sektor makanan dan halal.
Untuk rekod, nilai perdagangan Malaysia-Rusia dianggarkan mencecah kira-kira USD3 bilion setahun, manakala setakat September tahun ini, nilai perdagangan bagi sektor agromakanan antara kedua-dua negara direkodkan sebanyak RM2.5 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial