JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Dalam Proses Bawa Pulang Aset 1MDB

22/12/2025 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses membawa pulang aset-aset bernilai tinggi yang berkaitan dengan usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tindakan selanjutnya.

Menurut sumber, SPRM ketika ini sedang menilai keperluan logistik serta kos yang terlibat bagi  membawa pulang aset-aset berkenaan.

Dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo dipegang Christie's dan Sotheby's Auction House Amerika Syarikat (AS), antaranya Pablo Picasso L'Ecuyere et les clowns (1961); Joan Miró Composition (1953); William H. Bailey Still Life (b. 1930); Alexander Calder Studies for Sculpture (1898-1976) dan Henri Matisse Femme Assise (1869-1954), yang kesemuanya bernilai melebihi USD30 juta.

“Aset yang berada di bawah jagaan Sotheby’s kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia melalui penghantaran, manakala aset yang berada di bawah jagaan Christie’s hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di Amerika Syarikat, khususnya melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

“Kos membawa pulang aset-aset ini adalah tinggi kerana ia memerlukan ruang penyimpanan khas, pemeriksaan berkala, rawatan konservasi serta penyelenggaraan berterusan, selain memerlukan koordinasi yang rapi dengan agensi penguatkuasaan asing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber itu berkata pemulangan aset-aset itu telah dipersetujui sebagai sebahagian usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB serta hasil perbincangan dua hala antara SPRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan DOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Dis lepas.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memberitahu SPRM masih meneruskan pengesanan dan siasatan ke atas pelbagai kategori aset termasuk hartanah, aset kewangan dan aset bernilai tinggi melibatkan jurisdiction (bidang kuasa) berbeza.

Beliau berkata terbaharu siasatan turut melibatkan individu (Casey Tang) yang dikaitkan dengan kesalahan 1MDB yang memiliki kediaman mewah di luar negara serta penyelewengan melibatkan firma guaman luar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan