JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Warga Singapura Ditahan Bergaduh Di Balai Polis

22/12/2025 07:38 PM

JOHOR BAHRU, 22 Dis (Bernama) -- Dua lelaki warga Singapura ditahan selepas terlibat dalam pergaduhan di dalam kawasan Balai Polis Larkin, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), di sini semalam.

Ketua Polis Daerah JBS ACP Raub Selamat berkata kejadian berlaku pada 6.15 petang ketika suspek berusia 56 dan 46 tahun berada di kaunter aduan, selepas dibawa oleh pihak polis ke balai berkenaan akibat terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat beli-belah di sini pada hari sama.

“Namun, semasa seorang daripada suspek membuat laporan polis, seorang lagi suspek telah datang ke kaunter aduan dan berlaku serangan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pergelutan.

“Bagaimanapun, pergelutan tersebut berjaya dileraikan anggota polis yang bertugas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata akibat kejadian itu, kedua-dua suspek mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah sebelum diberkas.

Menurutnya pergaduhan pertama antara kedua-duanya berlaku sekitar 5.20 petang di aras satu pusat beli-belah tersebut, yang didakwa berpunca daripada ketidakpuasan hati apabila ditegur oleh isteri seorang daripada suspek.

“Wanita tersebut didakwa terkena air minuman bir yang tertumpah selepas salah seorang suspek hampir melanggarnya. 

"Pertikaian tersebut telah mencetuskan pergaduhan sehingga memerlukan campur tangan pihak polis yang sedang menjalankan tugas rondaan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang negatif daripada pengaruh dadah, direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran yang betul.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan