DUNIA

ASEAN Mesti Lakukan Apa Sahaja Yang Perlu Untuk Kekalkan Keamanan Serantau - Malaysia

22/12/2025 02:42 PM

Oleh Zarul Effendi Razali & Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- ASEAN mesti melakukan apa sahaja yang perlu bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, sambil menegaskan bahawa usaha menangani situasi antara Kemboja dan Thailand mesti melangkaui sekadar meredakan ketegangan, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan. 

Beliau berkata selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia berpandangan bahawa blok serantau itu perlu mempergiat usaha pembinaan kepercayaan antara pihak-pihak yang terlibat dalam konflik serta memastikan dialog diteruskan walaupun berdepan perbezaan yang ketara, memandangkan kestabilan serantau merupakan tanggungjawab bersama.

Beliau turut menekankan pendekatan ASEAN perlu dipandu oleh pengajaran daripada pengalaman lalu serta berteraskan kebijaksanaan, solidariti dan kepercayaan yang telah membolehkan rantau ini mengharungi pelbagai tempoh pergolakan.

“ASEAN mesti melakukan apa sahaja yang perlu untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau. Matlamat kita bukan sekadar meredakan ketegangan.

“Kita perlu mempergiat pembinaan kepercayaan antara pihak-pihak yang berkonflik dan menyediakan ruang dialog meskipun berdepan perbezaan,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) mengenai situasi terkini antara Thailand dan Kemboja, di sini pada Isnin.

Sementara itu, Mohamad berkata Malaysia amat berdukacita mengenai korban awam akibat situasi Thailand dan Kemboja, sambil menegaskan bahawa konflik berlarutan telah menjejaskan kehidupan penduduk serta menyumbang kepada perpindahan dalaman yang ketara. 

Sejak tercetusnya permusuhan pada Julai, beliau berkata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha tanpa jemu untuk memudah cara penyelesaian secara muhibah melalui penglibatan berterusan dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand.

“Pengerusi menggesa kedua-dua pihak melaksanakan sepenuhnya dan secara berkesan perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai, (Perjanjian Gencatan Senjata Julai serta perjanjian susulan antara kedua-dua negara), termasuk Perjanjian Damai Kuala Lumpur,” katanya.

Sepanjang proses itu, Mohamad berkata Anwar turut berkomunikasi secara aktif dengan pemimpin-pemimpin ASEAN lain bagi menangani situasi berkenaan.

“Perdana Menteri Anwar pada asasnya menegaskan kepentingan Kemboja dan Thailand untuk menegakkan semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati bagi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“Selain itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia menerusi mekanisme Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) turut giat berhubung dengan rakan sejawat dari Kemboja dan Thailand bagi memantau situasi di lapangan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn, Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow serta Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn antara yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Turut hadir ialah Menteri Luar Indonesia Sugiono, Thongsavanh Phomvihane (Laos), Dr Vivian Balakrishnan (Singapura), Bendito dos Santos Freitas (Timor-Leste) serta Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Theresa P. Lazaro.

Brunei diwakili Menteri Luar II Datuk Erywan Pehin Yusof, Vietnam oleh Timbalan Menteri Luar Dang Hoang Giang, manakala pegawai Myanmar menyertai mesyuarat itu secara maya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan