EKONOMI

Bursa Malaysia Kekal Stabil Harungi Cabaran Global, Disokong Penilaian Menarik

21/12/2025 09:45 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Pasaran saham Malaysia pulih dan kekal stabil menjelang akhir tahun, disokong oleh penilaian menarik dan pemulihan pendapatan meskipun kegawatan perdagangan global yang tercetus akibat tarif Amerika Syarikat (AS) serta penutupan kerajaan berpanjangan yang menjejaskan sentimen pelabur.

Terdapat 60 penyenaraian awam pada 2025 berbanding 55 tawaran awam permulaan (IPO) tahun lepas, satu pencapaian membanggakan yang menunjukkan minat berterusan pelabur meskipun ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, kekuatan pasaran  itu juga disumbang oleh profil sektor defensifnya, dengan pelabur menumpukan pada ekuiti yang mampu menjana pulangan konsisten walaupun dalam keadaan yang bergolak.

Pengumuman tarif Presiden AS Donald Trump ke atas lebih 100 negara termasuk Malaysia pada April telah menggegarkan pasaran di seluruh dunia yang membawa kepada tempoh goyah di Bursa Malaysia, terutamanya selepas suku pertama.

Bagaimanapun, pasaran berjaya pulih semula dan menunjukkan prestasi yang sederhana berbanding bursa serantau lain.

Thong berkata Jepun, India dan Taiwan mencatatkan kenaikan lebih kukuh disokong oleh komposisi tinggi saham teknologi mereka manakala pasaran China dan Hong Kong agak bergelut.

“Malaysia mengatasi kebanyakan pasaran Asia Utara tetapi ketinggalan berbanding pasaran ASEAN yang mencatatkan prestasi kukuh, terutamanya Indonesia dan Thailand,” katanya kepada Bernama.

Bursa Malaysia dibuka pada 1,632.87 pada 2 Januari 2025 sebelum FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut ke paras terendahnya tahun ini iaitu pada 1,400.59 pada 9 April ekoran tarif awal AS sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia, yang menambahkan lagi tekanan.

Ketidakpastian perdagangan mencetuskan penurunan pasaran pada April apabila pasaran global bertindak balas terhadap kejutan tarif utama.

Indeks petunjuk pasaran kemudian beransur-ansur mencatatkan pemulihan stabil, mencecah paras tertinggi tahun ini pada 1,665.90 mata pada 19 Disember, dan meningkat 0.33 peratus setakat tahun ini susulan sentimen domestik yang bertambah baik menjelang pengimbangan semula portfolio akhir tahun.

Sebelumnya, Bursa Malaysia mencatatkan pemulihan apabila tarif akhirnya ditetapkan pada 19 peratus, ditambah pula dengan sentimen positif susulan pengumuman Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan keyakinan yang muncul semula susulan pengenduran ketegangan perdagangan AS-China.

Sentimen pelabur terus diperkukuh dengan jawatan Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun ini, dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dianjurkan negara mengetengahkan kerjasama serantau dan penyelarasan dasar yang lebih kukuh, memperkukuh daya tarikan rantau ini sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan menyediakan sokongan terhadap pasaran ekuiti tempatan.

Keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS untuk mengurangkan kadar faedah kepada 3.5–3.75 peratus, penurunan ketiganya tahun ini daripada 4.25–4.50 peratus pada Disember 2024, dijangka membantu meningkatkan lagi sentimen dalam pasaran global dan tempatan apabila dana boleh dilaburkan menjadi lebih murah.

 

Aktiviti IPO capai sasaran 2025 

 

IPO di Bursa Malaysia mencatatkan prestasi kukuh tahun ini, dengan bilangan penyenaraian mencapai sasaran tahun penuh sebanyak 60 syarikat, mengatasi jumlah IPO tahun lepas iaitu 55.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dengan 60 penyenaraian itu, hampir RM30 bilion modal dikumpul di Bursa Malaysia.

IPO tersebut terdiri daripada 11 penyenaraian di Pasaran Utama, 44 di Pasaran ACE dan lima di Pasaran LEAP.

Antara yang menyerlah adalah Eco-Shop Marketing Bhd yang memulakan dagangan sulung kukuh di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.25, premium sebanyak 12 sen berbanding harga IPO RM1.13.

Mengulas mengenai prestasi tersebut, Thong berkata jumlah keseluruhan adalah stabil, walaupun saiz IPO biasa lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Minat pelabur masih berterusan, tetapi penetapan harga menjadi lebih berdisiplin dalam keadaan kadar global yang tidak menentu," katanya.

 

Beberapa Syarikat Utama Dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia

 

Malaysia juga menyaksikan beberapa syarikat utama dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia tahun ini, menandakan perubahan ketara dalam landskap pasaran modal negara.

Antara yang paling utama ialah Malaysia Airports Holdings Bhd, yang dinyahsenarai pada 25 Februari susulan kejayaan penstrukturan semulanya oleh konsortium Gateway Development Alliance.

Penyahsenaraian itu menandakan berakhirnya perjalanan korporat selama 25 tahun bagi pengendali lapangan terbang itu sebagai syarikat tersenarai, sejak penampilan sulungnya pada 30 November 1999, pada harga RM2.50.

FGV Holdings Bhd juga dinyahsenarai daripada Pasaran Utama pada 28 Ogos selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan memperoleh lebih 90 peratus saham syarikat itu melalui tawaran pengambilalihan sukarela.

Sebuah lagi syarikat, KNM Group Bhd, yang diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17, telah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 5 November selepas 22 tahun menjadi entiti tersenarai, mengutamakan kestabilan kewangan dan meneruskan penjualan Deutsche KNM GmbH bernilai €270 juta (RM1.34 bilion), yang dikatakan penting untuk menstabilkan kewangannya.

 

Tinjauan Masa Depan

 

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI bergelut untuk menembusi paras 1,650 tahun ini, tetapi tanda-tanda perubahan semakin muncul, menunjukkan momentum baharu apabila keadaan pasaran bertambah baik.

"Ekuiti dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan pendapatan, pengukuhan ringgit  dan diskaun penilaian yang semakin mengecil yang sepatutnya menarik aliran masuk asing kembali ke dalam kaunter kewangan, perindustrian dan teknologi terpilih," katanya.

Secara keseluruhannya, beliau menjangkakan persekitaran pelaburan yang lebih seimbang tahun depan, dengan ekuiti akhirnya selari dengan kekuatan yang sudahpun kelihatan dalam ekonomi sebenar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan