PUTRAJAYA, 20 Dis (Bernama) -- Seramai 31 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myawaddy, Myanmar, berjaya dibawa pulang dan selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada petang Sabtu.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan kumpulan itu tiba di Kompleks ICQS kira-kira pukul 6.50 petang Sabtu dan seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut kenyataan itu, urusan penghantaran pulang berkenaan berjaya dilaksanakan hasil kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon.
"Penghantaran pulang ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, khususnya mereka yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dalam talian," menurut kenyataan itu.
Kementerian memaklumkan kejayaan operasi itu hasil kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS), Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon, serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Kementerian Luar turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas kerjasama yang kukuh dalam memudahkan serta mempercepatkan urusan kepulangan 31 warga Malaysia berkenaan.
Sementara itu, kementerian memaklumkan warga Malaysia terbabit adalah antara beberapa warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras aktiviti penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy baru-baru ini.
Identiti individu berkenaan telah disahkan lebih awal oleh pegawai daripada Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok semasa urusan penghantaran pulang sebelum ini pada awal Disember, katanya.
"Kepulangan mereka tidak dapat diuruskan dengan segera memandangkan mereka tertakluk kepada undang-undang imigresen tempatan kerana kemasukan secara haram. Bagaimanapun, hasil usaha dan rundingan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok serta bantuan pihak berkuasa Imigresen Tak, kumpulan itu dibebaskan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) Thailand pada 19 Dis," menurut kenyataan itu lagi.
Susulan pembebasan itu, kumpulan berkenaan disambut oleh pegawai kedutaan di Bangkok dan dihantar pulang ke Malaysia melalui jalan darat menerusi Bukit Kayu Hitam.
"Bantuan konsul yang komprehensif telah diberikan, termasuk memaklumkan kepada ahli keluarga, pengeluaran dokumen perjalanan sementara, pengaturan logistik, penyediaan keperluan asas, serta iringan sepanjang perjalanan selama 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam, Kedah," katanya.
Kementerian Luar kekal komited untuk melindungi kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan melalui perwakilan diplomatiknya, akan terus memberikan bantuan konsul apabila diperlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial