SUKAN

Sukan SEA 2025: 34 Peratus Muka Baharu Raih Pingat, Hoe Yean, Cheong Min Atlet Terbaik - MSN

20/12/2025 08:10 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 20 Dis (Bernama) -- Sebanyak 34 peratus atau 255 daripada keseluruhan 646 muka baharu yang bertanding pada Sukan SEA Thailand 2025, berjaya menyumbangkan pingat buat negara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata 43 peratus atau 178 daripada 412 atlet berusia bawah 21 tahun turut pulang dengan pingat pada edisi ke-33 temasya sukan dwitahunan itu, yang melabuhkan tirainya hari ini.

“Ini menunjukkan perkembangan yang baik untuk kita sebagai penganjur 2027 nanti dan juga untuk penyertaan Sukan-Sukan SEA yang akan datang,” katanya pada sidang media rumusan pencapaian kontinjen negara pada Sukan SEA Thailand 2025, di sini hari ini.

Dari segi pungutan pingat emas, prestasi kontinjen negara kali ini juga amat memberangsangkan apabila sebanyak 28 jenis sukan berjaya menyumbang emas, rekod paling tinggi dalam penyertaan Malaysia pada Sukan SEA setakat ini.

Beliau berkata jumlah tersebut tinggi jika dibandingkan dengan 15 jenis sukan yang berjaya menyumbang keseluruhan 34 pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, dan 18 daripada keseluruhan 68 pingat emas dari Sukan SEA 2007 di Thailand, yang merupakan pungutan pingat emas paling banyak di luar Malaysia setakat ini.

Jefri juga berkata 632 peratus atau 413 dari keseluruhan 663 atlet yang bertanding di bawah kategori A  merangkul pingat manakala hanya 28 peratus bersamaan 135 daripada 475 atlet dari kategori B, berjaya menaiki podium di Thailand.

Segala pembiayaan bagi atlet yang berada di bawah kategori A  ditanggung Majlis Sukan Negara manakala kategori B dibiayai sepenuhnya persatuan masing-masing.

Sehubungan itu, Jefri berkata mereka akan memperhalusi kriteria pemilihan atlet di bawah kategori B bagi memastikan mereka bukan sekadar ‘penumpang’ namun menjadi satu daripada penyumbang pingat buat negara pada Sukan SEA akan datang.

Sementara itu, beliau mengumumkan perenang negara Khiew Hoe Yean dan jaguh wusyu Tan Cheong Min sebagai atlet lelaki dan wanita terbaik negara susulan prestasi mengagumkan pada Sukan SEA 2025.

Hoe Yean membawa pulang dua emas menerusi acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki, 400m gaya bebas lelaki, perak bersama kuarter 4x200m gaya bebas lelaki dan gangsa 4x100m gaya bebas lelaki.

Cheong Min pula menyambar emas acara gabungan tiga disiplin nanquan, nandao dan nangun sebelum membantu pasukan negara menambah pungutan emas acara duilian bersenjata berpasukan wanita.

Selain itu, Jefri berkata sepak takraw, judo, olahraga, menembak dan Muay merupakan antara sukan yang cemerlang di Sukan SEA Thailand 2025.

Menurutnya, kejayaan menamatkan kemarau 34 tahun acara regu berpasukan lelaki menumbangkan Thailand merupakan antara detik gemilang kontinjen negara selain pencapaian manis Amir Daniel Abdul Majeed yang cemerlang menamatkan penantian 44 tahun skuad judo negara memenangi emas Sukan SEA.

Beliau berkata dominasi emas selama tujuh edisi berturut-turut jaguh lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin wajar diberi perhatian manakala penembak negara membidik tiga rekod temasya baharu dan Muay pula memenangi tiga pingat emas, yang juga merupakan pencapaian terbaik di luar Kuala Lumpur.

Jefri pada masa sama mengucapkan tahniah kepada pengurusan kontinjen negara diketuai Nurul Huda Abdullah yang berjaya menguruskan kontinjen dengan baik dan berkesan hingga berjaya membantu Malaysia melakar rekod baharu memungut 231 pingat setakat 3.30 petang waktu tempatan, yang merupakan pencapaian paling tinggi di luar Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan