AM

Jangan Politikkan Isu Kelewatan Bantuan Makanan Di PPS - Sultan Pahang

20/12/2025 06:41 PM

KUANTAN, 20 Dis (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua pihak, supaya tidak mempolitikkan isu kelewatan bantuan makanan yang disalurkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa kelewatan berkenaan, berpunca daripada situasi banjir yang berlaku secara mengejut, sekali gus menimbulkan kekangan kepada pihak terlibat.

“Saya ucap terima kasih kerana makanan telah sampai dengan sebaik mungkin, cuma pada hari pertama sahaja berlaku sedikit kelewatan. (Ia) bukan disengajakan dan saya harap perkara itu tidak dipolitikkan, kerana terdapat pelbagai masalah tersendiri,” titah baginda ketika berucap selepas berkenan melawat PPS Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, di sini hari ini.

Baginda turut menegaskan kepentingan semua pihak untuk sentiasa bersedia menghadapi musim tengkujuh, khususnya jentera kerajaan serta pasukan sokongan termasuk petugas penyediaan makanan, bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terus terpelihara.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan mangsa banjir supaya tidak tergesa-gesa pulang ke rumah masing-masing, memandangkan terdapat kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir dalam tempoh terdekat.

“Saya dimaklumkan kemungkinan gelombang kedua akan berlaku minggu depan, jadi janganlah balik terlalu cepat. Kita perlu bersabar dan teruskan doa agar perkara ini tidak berlaku,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan rasa syukur kerana keadaan banjir di negeri ini masih terkawal berbanding bencana yang melanda beberapa kawasan lain, selain turut mendoakan kesejahteraan penduduk di Sumatera dan Aceh agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat.

Ketika ditemui pemberita, baginda turut mengulas kejayaan skuad ekuestrian polo negara yang mengekalkan kejuaraan pada peringkat antarabangsa, termasuk pencapaian cemerlang dalam temasya sukan serantau.

“Alhamdulillah, pasukan kita dapat mengekalkan kejuaraan dalam sukan polo. Namun saya percaya pada Sukan SEA akan datang, pasukan lain pasti lebih bersedia. Kita berharap pasukan Malaysia dapat meneruskan program latihan yang lebih berkesan serta melahirkan lebih ramai bakat muda bagi menggantikan pemain yang telah berusia,” titah baginda.

Semalam, skuad equestrian polo negara merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand, selepas menewaskan skuad tuan rumah Thailand 10-6.5 dalam aksi final acara polo kategori 4-6 gol di VS Sports Club & Siam Polo Park. 

Kemenangan itu lebih istimewa dengan penglibatan Putera Sultan Pahang Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, yang turut beraksi bersama skuad negara, sekali gus mengulangi pencapaian yang pernah diraih ayahandanya lebih empat dekad lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan