KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti modus operandi utama sering digunakan sindiket untuk menyeludup masuk dan keluar dadah, iaitu melalui perairan laut dalam, memperalatkan keldai dadah serta menyalahgunakan perkhidmatan kontena di pelabuhan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata tiga taktik itu dikenal pasti hasil analisis operasi dan risikan pihaknya dari Januari hingga Khamis lepas.
Bagi modus operandi transit di perairan laut dalam, sindiket biasanya menggunakan bot nelayan untuk mengambil bekalan dadah dari kapal induk dan membawanya masuk ke perairan Malaysia.
“Antara kejayaan ialah OPS Gombe pada 23 April hasil maklumat penyeludupan dari Golden Triangle ke Australia di perairan Terengganu yang menahan dua lelaki tempatan dan merampas 590 kilogram (kg) methamphetamine serta heroin base dianggarkan RM24.9 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Selain itu, Hussein berkata sindiket turut merekrut individu untuk dijadikan keldai dadah melalui media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram serta aplikasi komunikasi termasuk WhatsApp, Telegram dan WeChat.
“Individu terbabit dijanjikan pakej percutian percuma serta gaji lumayan namun dijadikan keldai dengan taktik menyembunyikan dadah pada badan, menelan ketulan dadah, menyimpan dalam bagasi atau ruang rahsia atau transit ke negara ketiga untuk mengambil dadah dan dihantar ke negara destinasi,” katanya.
Bagi modus operandi menggunakan kontena, beliau berkata sindiket menyalahgunakan sistem penghantaran kargo antarabangsa dengan mengisytiharkan barangan sah dalam dokumen kastam, namun membawa masuk atau menghantar keluar dadah dalam jumlah besar.
Hussein berkata kejayaan membanteras modus operandi itu dibuktikan menerusi OPS Borzoi pada 25 Jan hasil perkongsian maklumat JSJN dan Australian Federal Police (AFP) berkaitan penyeludupan untuk pasaran Sydney, Australia melibatkan rampasan 33,200 kg methamphetamine bernilai RM1.06 bilion.
“OPS Virola pada 7 Nov hasil kerjasama JSJN dan AFP pula berjaya mengesan penyeludupan methamphetamine dari negara Timur Tengah yang transit di Pelabuhan Klang, Selangor membawa kepada rampasan 45 kg methamphetamine bernilai RM1.44 juta,” katanya.
Beliau berkata bagi tempoh sama, JSJN menumpaskan 270 sindiket pengedaran menerusi 609 operasi dan menahan 737 individu selain menyerbu 19 makmal dadah yang membawa kepada penahanan 52 individu termasuk empat ahli kimia serta merampas 215 tan dadah dan racun dengan nilai pasaran dianggarkan RM3.1 bilion.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 234,567 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 melibatkan 255,248 tangkapan dengan 67 peratus kes telah dituduh di mahkamah.
“Selain itu tindakan melumpuhkan kewangan sindiket menyaksikan RM141 juta aset disita dan RM29 juta dilucutkan hak manakala 808 individu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi memutuskan rangkaian sindiket,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial