SUKAN

10 Bangunan Ikonik Raikan Malaysia Sebagai Tuan Rumah Sukan SEA Ke-34

19/12/2025 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Sebanyak 10 bangunan ikonik di empat negeri yang bakal menganjurkan Sukan SEA 2027, iaitu Kuala Lumpur, Kuching, Johor Baharu dan Pulau Pinang akan ‘bermandi’ cahaya dengan pancaran warna Jalur Gemilang seawal 7 malam esok sempena upacara penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF). 

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan antara bangunan terlibat ialah Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Menara DBKL, KOMTAR, PWCC Penang, Jambatan Sultan Abdul Halim, Jambatan Satok, Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Darul Hana Musical Fountain Kuching dan di sekitar Iskandar Puteri, Johor.

Turut akan diwarnai dengan lampu merah, kuning, biru dan putih adalah Stadium Nasional Bukit Jalil, iaitu satu daripada gelanggang sukan paling ikonik di Malaysia. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 Abdul Rashid Yaakub melihat komitmen yang diberikan oleh kesemua empat negeri penganjur Sukan SEA 2027 itu sebagai petanda positif dan melambangkan keterujaan bagi menjadi tuan rumah temasya edisi ke-34 itu nanti.

“Pencahayaan bangunan dengan warna Jalur Gemilang ini adalah simbolik kepada sambutan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh. Kami mahu peminat sukan dan rakyat Malaysia, khususnya turut berasa teruja dan gembira dengan sambutan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Selain daripada pencahayaan bangunan, skrin LED di lokasi strategik empat bandar raya itu juga akan dihiasi dengan paparan grafik sempena penggiliran Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA akan datang. 

Upacara penutup Sukan SEA 2025 di Thailand akan bermula pada 7 malam di Stadium Rajamangala, Bangkok, dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Dr Norza Zakaria dijadualkan menerima bendera SEAGF sebagai simbolik tuan rumah temasya sukan terbesar di rantau ini dua tahun lagi.

Malaysia selaku tuan rumah turut terlibat dengan persembahan penutup yang akan dijayakan oleh tiga artis tempatan iaitu Mimi Fly, Amir Jahari dan Marsha Milan serta 60 penari daripada pelbagai etnik.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan