AM

Inisiatif Penjanaan Solar Di Bumbung Bangunan Bermula 1 Jan - PETRA

19/12/2025 11:55 AM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan atau Solar ATAP bermula 1 Jan 2026 sebagai usaha memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) daripada sumber solar.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan program itu kesinambungan kepada Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang tamat pada 30 Jun dengan beberapa penambahbaikan daripada cadangan asal bagi Solar ATAP dilakukan.

“Suruhanjaya Tenaga (ST) selaku badan kawal selia industri pembekalan elektrik telah menyediakan Garis Panduan Program Solar ATAP yang boleh diakses di laman sesawang ST bermula 31 Dis. 

“Permohonan untuk program ini boleh dikemukakan bermula 1 Jan melalui laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia,” menurut kenyataan itu.

PETRA memaklumkan antara penambahbaikan ialah tiada kuota khusus ditetapkan di bawah Solar ATAP namun kerajaan boleh meletakkan satu had tertentu pada bila-bila masa jika kemasukan solar yang tidak terkawal menjejaskan sistem grid nasional.

Selain itu, prinsip asas NEM, iaitu membenarkan lebihan tenaga solar yang dijana dijual kepada grid sebagai offset tenaga dengan penyesuaian tertentu bagi menjadikannya lebih menarik berbanding Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo) sedia ada.

“Penetapan kadar offset tenaga berdasarkan harga pasaran elektrik iaitu pada kadar system marginal price bagi pengguna bukan domestik dan kadar caj tenaga bagi kumpulan domestik.

“Had pemasangan sistem solar ditetapkan pada kadar 100 peratus permintaan maksimum agar pengguna boleh mengoptimumkan pemasangan sistem solar untuk kegunaan sendiri,” menurut kenyataan itu. 

Selain itu, pengguna domestik 1-fasa (single phase) dibenarkan untuk memasang solar dengan kapasiti lima kilowatt (kW) dan kapasiti rumah dengan pepasangan 3-fasa dinaikan daripada 12.5kW kepada 15kW,” menurut kenyataan itu.

PETRA memaklumkan pelaksanaan Program Solar ATAP dijangka memberi pilihan kepada pengguna untuk memanfaatkan ruang bumbung bangunan bagi penjanaan TBB dan merancakkan pembangunan penjanaan tenaga bersih bagi mengurangkan pelepasan karbon negara.

PETRA yakin pelaksanaan Solar ATAP akan menjadi pemangkin strategik dalam memperkukuh landskap tenaga negara untuk jangka masa panjang dan seterusnya menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai 70 peratus kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik menjelang 2050.

“Inisiatif ini bukan sahaja memacu kemampanan negara malah menzahirkan komitmen Malaysia dalam menunaikan tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang selaras dengan teras dan nilai Malaysia MADANI,” menurut PETRA.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan