KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar permainan kerusi atau imbangan kuasa politik semata-mata, sebaliknya mesej tegas berkenaan hala tuju kepimpinan negara dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata rombakan pada Selasa lepas mencerminkan keberanian Anwar untuk memikirkan masa depan Malaysia, sekali gus membentuk Kabinet yang akan memimpin negara menuju PRU16 dan menguji kesediaan peralihan generasi kepimpinan nasional.
"Dalam konteks ini, mesej Perdana Menteri jelas, iaitu negara tidak boleh terus dipimpin oleh formula lama dengan wajah yang sama dan pendekatan yang kitar semula," katanya menerusi catatan di Facebook.
Pada Selasa, Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi sebagai satu pasukan yang lebih berkesan.
Selain itu, Muhammad Kamil berkata rombakan terbabit wajar dilihat sebagai sebahagian agenda regenerasi dan pembaharuan kepimpinan kerana langkah itu menunjukkan kesanggupan Perdana Menteri memberikan ruang kepada muka baharu yang muda, berpendidikan dan berkeupayaan.
Beliau menyifatkan langkah Perdana Menteri itu sebagai pelaburan jangka panjang untuk membina lapisan pimpinan negara, sambil mengingatkan bahawa Anwar sendiri pernah dilantik sebagai menteri pada usia yang relatif muda dan kini mengulangi kitaran itu dengan membuka pintu kepada generasi seterusnya.
Mengambil contoh Dr Zulkifli Hasan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Muhammad Kamil berkata pelantikan itu mencerminkan kepercayaan terhadap tokoh muda yang mempunyai latar belakang ilmu dan pengalaman pentadbiran.
Selain itu, katanya pelantikan beberapa pemimpin muda lain seperti Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man selari dengan dasar kerajaan, selain memberikan peluang kepada golongan muda terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara.
"Sudah tentu, Kabinet ini tidak lari daripada kritikan. Isu perwakilan wilayah dan sentimen perkauman terus dimainkan oleh sesetengah pihak. Namun, pendekatan Perdana Menteri menunjukkan pertimbangan utama bukanlah warna kulit atau kepartian semata-mata.
"Dalam portfolio Wilayah Persekutuan contohnya, penglibatan timbalan menteri dari Sabah Datuk Lo Su Fui adalah signifikan memandangkan Labuan sebahagian daripadanya. Ini mencerminkan kekuatan realiti Persekutuan Malaysia. Malah, sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI, Perdana Menteri secara konsisten mengimbangi kepentingan politik Sabah, menghormati struktur Persekutuan dan suara rakyatnya," katanya.
Mengulas kritikan terhadap pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), beliau berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan rekod perkhidmatannya sebagai wakil rakyat serta kemampuan dan tanggungjawab, bukannya kaum atau parti semata-mata.
"Beliau pernah mencipta sejarah sebagai Speaker wanita pertama Dewan Undangan Negeri Selangor, memimpin dengan sikap bukan partisan dan profesional yang dihormati semua pihak.
"Di kawasannya, beliau memperjuangkan pengiktirafan Kampung Sungai Penchala sebagai kampung warisan Melayu, dan sikap saling menghormati yang ditunjukkan dalam komuniti Melayu dan Islam mencerminkan kepimpinan matang dalam masyarakat majmuk," katanya.
Muhammad Kamil berkata naratif bahawa satu parti tertentu menguasai Kabinet perlu diperbetul, kerana walaupun DAP mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen berbanding UMNO, jumlah menteri dan timbalan menteri yang diterima UMNO adalah lebih besar.
Katanya, DAP hanya menerima bilangan mengikut kadar perwakilan dan perkara itu ialah fakta yang sering disenyapkan kerana tidak menyokong retorik perkauman yang dimainkan.
"Tiada Kabinet yang sempurna. Setiap pelantikan membawa risiko, namun keberanian sebenar dalam kepimpinan ialah kesediaan memberikan peluang, memantau prestasi dan bersedia dinilai. Kabinet regenerasi ini adalah tentang keberanian memilih masa depan dan kesanggupan bekerja untuk menghasilkan impak yang nyata kepada negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial