AM

Pahang Catat Jumlah Mangsa Banjir Tertinggi, Lebih 10,000 Mangsa Ditempatkan Di PPS

18/12/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Hujan lebat berterusan menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Johor dan Kelantan meningkat setakat petang ini, manakala di Terengganu menyaksikan penurunan. 

Situasi banjir di PAHANG semakin buruk apabila jumlah mangsa terus meningkat kepada 10,956 orang daripada 3,635 keluarga yang ditempatkan di 78 PPS berbanding 8,226 orang daripada 2,653 keluarga di 69 PPS pagi tadi.

Aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 8,748 mangsa ditempatkan di 43 PPS di Kuantan, Maran (902 mangsa di 14 PPS), Pekan (854 mangsa di 10 PPS), Rompin (423 mangsa di lapan PPS) dan Jerantut (29 orang di tiga PPS).

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman dalam kenyataan berkata jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir meningkat sedikit kepada 356 orang setakat 4 petang ini berbanding 347 orang pagi tadi, dengan tiga PPS kekal beroperasi di daerah Mersing.

Beliau berkata PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar yang menempatkan 148 mangsa daripada 36 keluarga, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching (139 mangsa daripada 44 keluarga) dan SK Labong (69 mangsa daripada 13 keluarga).

“Tiga sungai berada pada paras amaran, iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dengan bacaan 19.87 meter (m), Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat (8.22 m) dan Sungai Lenik di Ladang Cha’ah, Batu Pahat (6.99 m),” katanya sambil menambah Kota Tinggi dan Segamat dilaporkan hujan, Tangkak dan Kulai pula cerah, manakala daerah lain mendung.

Di KELANTAN, bilangan mangsa di Gua Musang yang dipindahkan juga meningkat kepada 137 orang daripada 32 keluarga petang ini berbanding 16 mangsa daripada empat keluarga pagi tadi, dengan sebuah PPS dibuka di daerah berkenaan.

Menurut Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan, Gua Musang ialah satu-satunya daerah yang menempatkan mangsa setakat ini, manakala daerah lain belum merekodkan sebarang pemindahan.

Beberapa sungai utama di negeri ini juga dilaporkan berada pada paras berjaga-jaga dan amaran, antaranya Sungai Galas di Limau Kasturi, Sungai Nenggiri di Bertam, Sungai Lebir di Tualang serta Sungai Golok di Rantau Panjang.

Sehubungan dengan itu, APM Daerah Gua Musang telah melaksanakan operasi penghantaran 35 murid Orang Asli dari asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi ke kediaman masing-masing susulan banjir di kawasan berkenaan.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di TERENGGANU menurun sedikit kepada 902 orang daripada 248 keluarga petang ini berbanding 913 daripada 258 keluarga pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Hulu Terengganu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila 18 mangsa daripada lima keluarga berpindah ke sebuah PPS, Kemaman (637 mangsa daripada 171 keluarga di 12 PPS) dan Dungun (247 mangsa daripada 72 keluarga di dua PPS).

Berdasarkan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, paras air sungai di stesen Sungai Besut, Besut telah melepasi tahap bahaya, manakala enam lagi stesen melepasi had amaran, melibatkan Sungai Dungun, Dungun; Sungau Cherol, Kemaman; Sungai Berang, Hulu Terengganu; Sungai Kemaman, Kemaman; Sungai Dungun, Dungun; dan Sungai Tersat, Hulu Terengganu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan