POLITIK

BN Pertimbang Anak Bung Moktar Sebagai Calon PRK Parlimen Kinabatangan

18/12/2025 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk meletakkan anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada Januari depan, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO berkata meskipun beliau belum mengemukakan perkara itu dalam mesyuarat induk UMNO dan Dewan Tertinggi BN, Allahyarham Bung Moktar sebelum ini pernah mencadangkan Naim Kurniawan diberi peluang bertanding di kerusi itu.

Beliau berkata penerimaan pengundi kawasan Parlimen Kinabatangan terhadap Naim Kurniawan juga adalah baik. 

“Bagaimanapun, saya perlu mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan kepimpinan dan juga rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang dilaporkan berkata bahawa partinya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin tidak akan bertanding pada PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah meninggal dunia pada 5 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026 manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.

Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah 29 Nov lepas.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan