POLITIK

UMNO Sabah Kenal Pasti Empat Bakal Calon PRK Kinabatangan, DUN Lamag

18/12/2025 12:39 AM

KOTA KINABALU, 17 Dis (Bernama) -- UMNO Sabah telah mengenal pasti empat individu sebagai calon berpotensi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata parti itu sedang meneliti kriteria calon boleh menang hasil sesi libat urus bersama pimpinan akar umbi tempatan, bagi menjamin kemenangan selesa di kedua-dua kerusi.

“Kita telah mengenal pasti beberapa calon dan saya mendengar apa-apa jua yang telah disuarakan pimpinan di peringkat akar umbi. Insya-Allah kita akan bawa perkara ini untuk diputuskan pada masa sesuai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di sini, malam ini.

Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata bakal calon yang dikenal pasti adalah lelaki, muka baharu dan berpotensi memberi kemenangan lebih meyakinkan kepada parti.

Beliau berkata pemilihan calon itu turut mengambil kira prestasi PRN Sabah baru-baru ini, yang menyaksikan majoriti undi diperoleh UMNO di Lamag berkurangan selain faktor kesihatan calon ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Jafry berkata beliau telah memaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hasrat untuk mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) di Kinabatangan dan Lamag.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026, dengan penamaan calon pada 10 Jan dan pengundian awal, 20 Jan.

PRK perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar pada 5 Dis lepas.

Sementara itu, Jafry berkata kepimpinan baharu UMNO Sabah komited meneruskan perjuangan parti secara lebih inklusif dan matang selari dengan peranan sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan negeri. 

“Dalam kedudukan ini, keutamaan kami bukan sekadar kestabilan politik tetapi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara adil, menyeluruh dan berkesan serta kebajikan rakyat sentiasa dibela tanpa mengira latar belakang.

“UMNO Sabah dan BN beriltizam untuk menjadi rakan kerajaan yang matang, berdisiplin dan bertanggungjawab. Bekerja dengan rendah hati, mendengar suara rakyat dan menunaikan amanah demi masa depan Sabah yang lebih sejahtera dan bermaruah,” katanya.

Selain itu, Jafry turut mengumumkan bahawa Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak kekal sebagai Bendahari UMNO Sabah, manakala Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi dilantik Ketua Penerangan dan Datuk Harun Durabi selaku Penolong Setiausaha.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan