JENAYAH & MAHKAMAH

Kereta Dilarikan, Kanak-kanak Lima Tahun Ditemukan Selamat

17/12/2025 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Pasangan suami isteri berdepan detik cemas apabila kereta mereka dilarikan bersama anak perempuan berusia lima tahun di Jalan PJS 6/4, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 7.24 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan suami isteri berkenaan meletakkan kereta di tepi jalan dan meninggalkan anak perempuan mereka di dalam kereta untuk membeli sarapan.

“Susulan itu, polis melancarkan Operasi Tutup dan hasil bantuan orang awam, kenderaan terbabit berjaya ditemukan di kawasan Apartmen Mentari Court, Petaling Jaya, kira-kira tiga jam selepas operasi dijalankan dan kanak-kanak itu telah diserahkan semula kepada pasangan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu bagi mengelak kekeliruan serta menjejaskan siasatan pihak berkuasa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melalui talian 03-7966 2222 atau pegawai penyiasat Insp Mohd Azman Ayob 012-223 7272.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan