AM

PKNS Raih Tiga Pengiktirafan Peringkat Asia

17/12/2025 07:11 PM

SHAH ALAM, 17 Dis (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meraih tiga pengiktirafan di peringkat Asia pada PropertyGuru Asia Property Awards 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, pada 12 Dis lepas, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju pembangunan hartanah negara.

Antara kejayaan utama ialah projek kediaman Linkar 52 dibangunkan di bawah pembangunan SA Sentral, yang dinobatkan sebagai pemenang kategori Best Connectivity Condo Development (Asia).

PKNS dalam satu kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu melengkapkan pencapaian berganda bagi Linkar 52 pada tahun ini selepas projek sama turut memenangi kategori Best Transit-Oriented Development (TOD) pada PropertyGuru Asia Awards Malaysia pada 8 Okt lepas.

Selain itu, Galeria SA Sentral iaitu galeri jualan bagi pembangunan SA Sentral turut meraih pengiktirafan apabila memenangi kategori Best Sales Gallery Architectural Design (Asia), hasil rekaan seni bina kontemporari dan ikonik.

Sementara itu, projek Residensi Aludra yang terletak di perbandaran Cyber Valley dan sebelum ini diiktiraf sebagai pembangunan rumah bandar terbaik menerusi anugerah PropertyGuru Asia Awards Malaysia, turut mencuri tumpuan apabila terpilih sebagai finalis bagi kategori Best Townhouse Development (Asia).

“Pengiktirafan ini meletakkan projek-projek PKNS setanding dengan pembangunan bertaraf tinggi dari seluruh Asia, sekali gus membuktikan keupayaan PKNS untuk bersaing dan menonjol di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan